KDN FC ikat 'oppa' Korea pertajam benteng pertahanan

KDN FC memilih 'oppa' Korea sebagai pemain import baharu dalam usaha memperkemaskan benteng pertahanan bagi mengharungi saingan Liga-M musim ini.
KDN FC memilih 'oppa' Korea sebagai pemain import baharu dalam usaha memperkemaskan benteng pertahanan bagi mengharungi saingan Liga-M musim ini.
A
A
A

KELANTAN Darul Naim FC (KDN FC) memilih 'Oppa' dari Korea, Ri-Gwan Kim sebagai pemain import baharu dalam usaha memperkemaskan benteng pertahanan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Tonggak pertahan muda dari kelab K League 1, Daegu FC, Ri-Gwan Kim sah menyertai KDN FC dengan tawaran kontrak semusim.

Selain itu, KDN FC menyambar tiga lagi pemain kelahiran Korea Selatan untuk memperkuatkan pasukan Liga Super dan Piala MFL bagi menghadapi saingan musim ini iaitu Ahoe Koo, Bae Kyeong Hwan dan Jung Byung Ju.

Presidennya, Rozi Muhamad berkata, kehadiran pemain itu bagi memastikan KDN FC mampu bersaing dalam kancah Liga Super dan Piala MFL.

"Ri-Gwan Kim beraksi di pertahanan tengah. Dia berusia 20 tahun dan merupakan bakat muda dalam Liga Korea.

"Tiga lagi pemain, juga usia yang masih muda tetapi memiliki karier yang sangat baik ketika pembentukan bakat bersama kelab di negara mereka," katanya pada Selasa.

Menurut beliau, ini merupakan pengalaman pertama pemain muda itu beraksi di luar negara kecuali Ahoe Koo.

Katanya, Ahoe Koo yang telah bermain dengan sistem bola sepak di Jepun sejak musim 2018.

Artikel Berkaitan:

Rozi memberitahu, pemilihan kesemua itu dilakukan atas nasihat jurulatih yang dilantik sewaktu pihak kelab berada di Korea, bulan lalu.

Sebelum ini, KDN FC yang dijenamakan dari Kelantan United membuat kejutan apabila mengikat pemain kebangsaan Palestin, Oday Kharoub.

Oday merupakan salah seorang tonggak yang beraksi cemerlang membantu Palestin sepanjang kempen Piala Asia tahun lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28