Penuntut jururawat hilang dijumpai di Johor

Maznah menunjukkan gambar anaknya, Nor Diana ketika ditemui di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Jalan Stesen Keretapi Tumpat. Foto Bernama
Maznah menunjukkan gambar anaknya, Nor Diana ketika ditemui di Kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Jalan Stesen Keretapi Tumpat. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Penuntut Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Nor Diana Mohd Najib yang dilaporkan hilang sejak 29 Februari lepas ditemukan selamat di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor.

Ibunya, Maznah Ismail, 44, berkata, Nor Diana, 21, didapati tinggal bersama kakak angkatnya yang dikenali sebagai Ika sebelum dijemput polis dan ahli keluarga kira-kira 3.50 pagi tadi.

"Melalui bantuan polis, kami sudah membawa Nor Diana pulang ke rumah anak saudara di Johor dan akan bertolak pulang ke Kelantan petang ini," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Maznah berkata, sejak dijumpai, anaknya kelihatan murung dan banyak berdiam diri serta tidak seceria seperti sebelum ini.

Menurutnya, Nor Diana yang juga penuntut tahun satu Diploma Kejururawatan memaklumkan keluarga tidak memahami situasinya yang mahu berhenti belajar dan ingin bekerja.

"Kami pelik kerana selama ini Nor Diana tidak pernah mengadu masalah semasa belajar, malah pengajian itu pula ialah pilihannya sendiri tanpa ada sesiapa memaksa," katanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur kerana Nor Diana telah ditemukan sekali gus dapat bersama-sama menyambut Aidilfitri ini.

Media sebelum ini melaporkan penuntut ILKMM Kampus Alor Setar, Kedah itu sepatutnya pulang ke rumah keluarga di Perumahan KTMB Tumpat ketika cuti pertengahan semester, namun tidak berbuat demikian dan gagal dikesan keluarga. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28