Tiada tolak ansur kes salah laku seksual libat guru, pelajar - KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran tidak bertolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikannya.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran tidak bertolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikannya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran tidak bertolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikannya.

Menerusi kenyataan pada Isnin, KPM memaklumkan pihaknya memandang serius kes salah laku seksual yang melibatkan guru dan pelajar seperti yang dilaporkan.

"Tiada tolak ansur terhadap kesalahan seksual di institusi pendidikan KPM," tegas kementerian itu.

Ujar KPM, kes berkenaan berada dalam perhatian KPM dan tindakan telah diambil mengikut garis panduan sedia ada.

"Kementerian juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya.

Selain itu, semua institusi pendidikan bawah KPM diminta untuk mematuhi Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang berkuatkuasa bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan murid.

Pada Ahad, media melaporkan polis sedang menyiasat laporan daripada keluarga pelajar lelaki berusia 17 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan cinta dengan guru sekolahnya sendiri.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, laporan diterima pada Disember tahun lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan dalam kes ini.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan pendedahan ahli keluarga pelajar berkenaan yang mendakwa ibu remaja lelaki berkenaan sudah membuat laporan polis serta laporan berasingan kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan lanjut.

Walaupun guru yang disiasat dalam kes ini dilaporkan sudah dipindahkan ke sekolah lain namun mereka mendakwa mereka masih berhubung dan pernah bertemu dengan adiknya secara rahsia.

Perbualan intim guru bersama pelajar tersebut menerusi aplikasi WhatsApp turut dimuat naik dalam media sosial.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28