Kes pelajar mati dipukul: Wujudkan loceng kecemasan di asrama

Laporan Sinar Online mengenai seorang pelajar maut dipukul gara-gara dituduh mencuri RM85 di asrama kolej vokasional di Sabah. (Gambar kecil: Lam Thye)
Laporan Sinar Online mengenai seorang pelajar maut dipukul gara-gara dituduh mencuri RM85 di asrama kolej vokasional di Sabah. (Gambar kecil: Lam Thye)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan loceng khas di asrama sebagai salah satu langkah mengekang gejala buli khususnya sekolah berasrama penuh.

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye yang berharap inisiatif berkenaan dapat diperhalusi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan langkah segera perlu dilaksanakan.

Menurutnya, sistem loceng perlu terus sampai ke bilik keselamatan sekolah supaya tindakan segera boleh dilakukan pengawal keselamatan apabila menerima 'panggilan' kecemasan.

“Sudah banyak kes buli berlaku di sekolah berasrama sejak kebelakangan ini tetapi sebahagian kes sahaja diambil tindakan dan masih banyak kes orang tidak tahu.

“Isu berkenaan (kes buli) mengandungi unsur keganasan, jadi kita tidak lagi boleh membiarkan perkara tersebut berlanjutan, lebih-lebih lagi di institusi pendidikan. Jadi langkah pemasangan loceng khas dicadangkan ini sebagai satu cara mencegah buli..Ianya salah satu cara mangsa meminta pertolongan, maka saya harap perkara ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas situasi terkini berhubung isu buli termasuk terbaharu seorang pelajar maut dipukul gara-gara dituduh mencuri RM85 di asrama kolej vokasional di Sabah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham antara mangsa, Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dengan sekumpulan penghuni asrama berkaitan masalah kehilangan wang di asrama tersebut.

Tambahnya, pemasangan sistem loceng khas tidak melibatkan beban kewangan besar berikutan kos pemasangan agak munasabah dan tidak terlalu tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa pemasangan ini tidak menelan belanja banyak, pihak sekolah boleh memasangnya dengan bantuan dari Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.

Jelas beliau, meskipun inisiatif ini adalah langkah jangka pendek tetapi dilihat sebagai salah satu usaha yang baik buat masa sekarang.

“Langkah jangka panjang bagi mengatasi buli ini adalah melalui pendidikan, kita boleh mendidik pelajar supaya berdisiplin dan berkelakuan baik. Perkara ini mengambil masa tetapi untuk jangka pendek pemasangan loceng khas perlu diberi keutamaan,” katanya.

Katanya, loceng itu juga nanti perlu berkualiti dan sentiasa diselenggara termasuk kerap melakukan ujian supaya dapat berfungsi ketika diperlukan.

Selain itu katanya, salah satu cara mendepani isu buli ini adalah pengawal keselamatan perlu bersikap cakna mengenai perubahan berlaku di persekitaran sekolah.

“Mereka perlu sentiasa melakukan rondaan dan bukan hanya duduk di pondok sahaja. Jika mengesyaki sesuatu perlulah segera diambil tindakan supaya tidak berulang,” katanya.