Lelaki mabuk bawa parang di tempat awam diberkas

Suspek diberkas selepas tindakannya membawa parang tular di media sosial pada Sabtu.
Suspek diberkas selepas tindakannya membawa parang tular di media sosial pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Tindakan seorang lelaki dipercayai mabuk sambil membawa parang panjang di tepi Jalan Kampung Morib, Banting dekat sini mengundang padah apabila diberkas polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, kejadian sebelum itu dikesan tular menerusi Facebook.

Menurutnya, siasatan kemudiannya membawa kepada tangkapan suspek yang merupakan buruh ladang dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

"Suspek berumur 31 tahun itu diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di kawasan Morib, Banting.

"Siasatan awal mendapati punca suspek bertindak demikian disebabkan masalah rumah tangga selain suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan berkata, kertas siasatan berkaitan kejadian telah dibuka di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Tambahnya, kes masih dalam siasatan dan orang awam diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!