APAD siasat pengusaha naikkan tambang bas lebihi surcaj dibenarkan

Anthony Loke - Foto: Bernama (kiri), Laporan Sinar Harian
Anthony Loke - Foto: Bernama (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedia menyiasat pengusaha syarikat bas ekspres yang menaikkan harga tambang melebihi 10 peratus surcaj yang dibenarkan.

Tegas Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, sekiranya terdapat aduan, APAD akan segera mengambil tindakan.

"Kalau ada pihak yang menaikkan lebih 10 peratus, maka aduan boleh dibuat kepada APAD," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di pejabatnya pada Jumaat.

Menurutnya, kenaikan surcaj 10 peratus adalah bukan suatu perkara yang baharu namun telah dilaksana sejak 20 tahun lalu pada musim perayaan.

"Sekiranya surcaj tersebut tidak dibenarkan, pengusaha syarikat bas ekspres tidak akan dapat menambah kapasiti serta membayar elaun pekerja mereka," katanya.

APAD sebelum ini memaklumkan kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi mengalami kenaikan 10 peratus sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri mulai 4 hingga 17 April ini.

Surcaj musim perayaan diluluskan Kabinet sebanyak RM0.009 sekilometer (skm) dan pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori berkenaan kepada RM0.102 skm berbanding kadar tambang biasa RM0.093 skm.

Sementara itu, Anthony berkata, kenderaan berat dilarang berada di atas jalan raya dua hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri iaitu 8, 9, 12 dan 13 April.

Artikel Berkaitan: