Pemilik restoran 'steamboat' sedia bayar pampasan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

TEMERLOH - "Kami bersedia bekerjasama untuk pampasan dengan mengikut segala prosedur yang betul," kata pemilik restoran 'steamboat', Mohd Sofrizam Mohd Yusof, 39, selepas tujuh beranak melecur apabila alat dapur memasak (tin butane gas) meletup secara tiba-tiba pada 9 Mac lalu.

Menurutnya, permohonan maaf telah dibuat serta berjumpa dengan keluarga tersebut selain mengadakan perbincangan untuk tindakan seterusnya.

"Kita kesal atas kejadian yang menimpa keluarga tersebut dan tanggungjawab kami membantu sehabis baik dalam hal ini.

"Sebelum ini, kita hanya mengikut prosedur yang dinasihatkan oleh peguam dan tidak membuat sebarang kenyataan awal kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, laporan polis telah dibuat selain pihak bomba untuk melakukan siasatan atas kejadian yang berlaku.

"Buat masa ini, kita menyeru agar orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," ujarnya lagi.

Mengakui insiden itu telah menjejaskan perniagaan miliknya dan pekerja, Mohd Sofrizam menjadikan insiden itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Suris Mihat memberitahu, lesen premis perniagaan itu digantung sementara waktu bermula Selasa hingga 25 Mac ini untuk siasatan susulan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan makan malam tujuh beranak bertukar tragedi apabila dapur gas mudah alih untuk memasak 'steamboat' meletup.

Mangsa, Noraini Abdullah, 53, berkata, kejadian jam 7 petang itu berlaku sekelip mata ketika dia bersama suaminya, Ayob Harun, 59, dan empat anaknya, Fatin Nabilah, 29, Arif Fauzan, 26, Arif Fahmi, 23, Arif Fahin, 21 serta menantunya iaitu suami kepada Fatin, Azrul Fazrin Asri, 28, sedang menjamu selera.

Menurutnya, sebelum itu mereka terdengar bunyi letupan sebelum dapur gas melambung.