OKU buta azam khatam 30 juzuk al-Quran sepanjang Ramadan

Dua daripada 70 peserta program tadarus Ramadan Pertis Terengganu membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Dua daripada 70 peserta program tadarus Ramadan Pertis Terengganu membaca ayat-ayat suci al-Quran.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan daripada Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia, (Pertis) Terengganu berazam untuk khatam 30 juzuk al-Quran pada setiap bulan Ramadan.

Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, penggunaan al-Quran Braille ketika sesi tadarus dapat membantu golongan tersebut mencapai sasaran sekali gus memastikan bulan penuh keberkatan itu diisi dengan aktiviti bermanfaat.

Menurutnya, tadarus al-Quran diadakan di pejabat Pertis, Seberang Takir, Kuala Nerus itu dibimbing oleh seramai 10 guru bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan melakukan ibadah.

Sebahagian daripada 70 ahli Pertis yang menyertai program tadarus Ramadan yang diadakan di pejabat Pertis, Seberang Takir, Kuala Nerus.
Sebahagian daripada 70 ahli Pertis yang menyertai program tadarus Ramadan yang diadakan di pejabat Pertis, Seberang Takir, Kuala Nerus.

"Di samping mempelajari tajwid dan membaca al-Quran secara tartil, guru-guru juga akan memberi penerangan mengenai kisah di sebalik turunnya sesuatu ayat tersebut.

"Sesi penerangan atau tadabbur ini penting untuk kita lebih memahami dan menghayati sirah Rasulullah SAW dan kisah nabi-nabi yang lain untuk diambil iktibar.

"Untuk tahun ini kami berazam untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran. Perkara sama juga akan dilakukan setiap kali Ramadan sebagai tanda kesyukuran dan mahu menyemarakkan lagi kesucian bulan mulia ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.

Peserta tadarus Ramadan tekun membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi memenuhi masa dengan pengisian bermanfaat sepanjang Ramadan.
Peserta tadarus Ramadan tekun membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi memenuhi masa dengan pengisian bermanfaat sepanjang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Fauzi, kelas bimbingan al-Quran Braille diadakan tiga kali setiap minggu dan menghimpunkan semua peserta yang datang dari seluruh Terengganu.

"Insya-ALLAH, Pertis Terengganu sentiasa istiqamah dalam memperkasakan penguasaan OKU cacat penglihatan membaca al Quran melalui kelas tadarus sepanjang Ramadan ini," ujarnya.

Menurut Mohd Fauzi, Pertis Terengganu merekodkan seramai 400 orang ahli dan 70 daripadanya menyertai program tadarus Ramadan itu.

"Buat masa ini, peserta tadarus paling muda berusia 18 tahun. Peserta berkenaan merupakan remaja lelaki yang cacat penglihatan dan autisme.

"Selain itu kita juga ada peserta paling tua iaitu seorang wanita berusia 70 tahun," ujarnya.