Dua rakan mengaku tidak bersalah samun lelaki

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menyamun wang tunai RM300 dan sebuah telefon bimbit milik seorang lelaki warga India, minggu lepas.

Mohd Fadhil Ghani, 32, dan M. Elanggovan, 52, didakwa bersama-sama melakukan samun terhadap Sandeep Singh dengan merampas wang tunai RM300 dan sebuah telefon bimbit jenama Iphone 11 Pro di tepi jalan di hadapan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pudu di sini pada 10.15 malam, 11 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh, namun kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana mereka mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 April ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: