Pemilihan Bersatu: Ahmad Faizal dijangka menang tanpa bertanding

Sesi taklimat semalam dihadiri petugas JPP Negeri, Pengerusi JPP Bahagian dan semua setiausaha Bersatu bahagian. - Foto Zainol Fadzi
Sesi taklimat semalam dihadiri petugas JPP Negeri, Pengerusi JPP Bahagian dan semua setiausaha Bersatu bahagian. - Foto Zainol Fadzi
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tambun apabila kawasan itu antara bahagian yang tidak ada pertandingan pada pemilihan Bersatu tahun ini.

Selain Tambun, beberapa bahagian lain seperti Ipoh Timor, Ipoh Barat dan Kuala Kangsar antara yang turut diramal tiada pertandingan bagi jawatan ketua bahagian pada pemilihan yang dijangka bermula bulan ini.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, undian untuk jawatan tertinggi di peringkat bahagian akan ditentukan pada mesyuarat agung tahunan peringkat cawangan.

Menurutnya, sebanyak 277 cawangan di Perak akan mengadakan mesyuarat diikuti pemilihan di peringkat cawangan secara undian angkat tangan manakala undian secara sulit bagi pemilihan jawatan bahagian.

"Kita menggunakan sistem satu ahli satu undi di mana ahli-ahli yang layak akan mengundi bagi memilih pimpinan di peringkat bahagian. Calon-calon bertanding di peringkat bahagian akan mengemukakan borang pada hari penamaan calon yang dijadual Isnin ini bermula 9 pagi hingga 2 petang.

"Borang-borang pencalonan boleh dikemukakan terus di pejabat-pejabat Bersatu bahagian masing-masing. Pengesahan sama ada mereka layak bertanding pada pemilihan nanti akan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti Peringkat Pusat pada 17 Januari nanti," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Zainol Fadzi berkata, berkata, taklimat mengenai pemilihan sudah pun dilakukan kepada semua pimpinan Bersatu di Perak dua minggu lalu.

Katanya, pemilihan kali ini turut membabitkan sayap parti iaitu Srikandi Bersatu Bahagian dan Armada Bersatu Bahagian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jawatan-jawatan yang dipertandingkan di peringkat bahagian adalah pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua, timbalan ketua, naib ketua dan ahli jawatankuasa.

Tambahnya, bagi sayap-sayap parti pula, jawatan dipertandingkan hampir sama melainkan timbalan ketua yang tidak disenaraikan.

Zainol Fadzi berkata, pemilihan tersebut akan bermula pada 25 Januari hingga 1 Mac depan.

"Bagi pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pula, perwakilan bahagian akan membuat undian pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian yang jadual berlangsung pada 4 April nanti.

"Semalam kita juga telah adakan sesi taklimat khas untuk penamaan calon kepada petugas JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) Negeri, Pengerusi JPP Bahagian dan semua setiausaha Bersatu bahagian," katanya.

Pemilihan Bersatu hanya melibatkan peringkat cawangan, bahagian dan MPT, bagi kepimpinan di peringkat negeri termasuk sayap parti dilaksanakan secara lantikan.

Persidangan cawangan nanti didahului dengan persidangan Srikandi dan Armada cawangan yang akan memilih jawatankuasa Srikandi serta Armada cawangan masing-masing dan jawatankuasa Srikandi serta Armada bahagian masing-masing.