Dua remaja pamer aksi 'superman' ditahan

Dua remaja yang ditahan kerana melakukan aksi 'superman' di Kilometer 47 Jalan Kuantan- Segamat. Foto PDRM
Dua remaja yang ditahan kerana melakukan aksi 'superman' di Kilometer 47 Jalan Kuantan- Segamat. Foto PDRM
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan dua remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi 'superman' di Kilometer 47 Jalan Kuantan-Segamat.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, penahanan dua suspek masing-masing berusia 15 dan 16 tahun itu dibuat selepas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pekan menerima satu rakaman video tular jam 11 pagi Jumaat.

Menurutnya, menerusi rakaman video berdurasi 60 saat itu, remaja terbabit didapati menunggang dua motosikal jenis Yamaha dalam keadaan berbahaya.

"Tujuan aksi dilakukan hanyalah sekadar untuk kepuasan diri sendiri. Aksi tersebut dirakam daripada kamera papan pemuka pengguna yang menggunakan laluan tersebut," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata, beberapa saman dikeluarkan antaranya kesalahan tiada lesen memandu di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, penunggang motosikal bawah umur dan tidak memakai topi keledar.

Mohd Zaidi menambah, kedua-dua remaja tersebut ditahan bagi membantu siasatan dan barang kes turut dirampas serta kes disiasat bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.

Sehubungan itu, pihak polis menasihat orang ramai supaya tidak melakukan aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: