Ruhainies, Aliff Aziz akui kekhilafan

Ruhainies, Aliff Aziz
Ruhainies, Aliff Aziz
A
A
A

SELEPAS hampir lima hari ditangkap setelah dipercayai berkhalwat di sebuah kondo mewah di ibu kota, Ruhainies dan Aliff Aziz tampil mengakui kekhilafan masing-masing dan memohon maaf atas insiden yang berlaku.

Ruhainies, 31, dalam satu kenyataan berkata, dia dan Aliff baharu selesai menjalani penggambaran dan bergerak bersama-sama pembantu peribadinya dengan dua kereta berasingan pulang ke Kuala Lumpur.

Pada masa sama, dia merancang untuk menikmati makan malam bersama adik-beradiknya dan turut menjemput Aliff menyertai mereka.

Bagaimanapun kelewatan kakaknya, Risteena Munim membuatkan Ruhainies menjemput Aliff untuk naik bersama sementera menanti ketibaan adik-beradiknya.

“Pada hari tersebut, adik beradik saya merancang untuk tidur di rumah. Jadi kami rancang untuk makan bersama adik-beradik dan rakan-rakan lain.

“Memandangkan Aliff juga baharu selesai menjalani penggambaran, saya jemput untuk turut serta kerana dia juga mengenali keluarga saya sejak 10 tahun lalu. Aliff juga bersetuju sebab dah lama tak berjumpa dengan mereka.

“Risteena pula maklumkan dia dalam perjalanan ke rumah namun tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Jadi, saya buat keputusan untuk naik ke rumah dan letakkan barang keperluan penggambaran sebelum saya dan Aliff sempat berborak sementara menunggu namun tidak lama kemudian, pintu rumah saya diketuk,” jelas Ruhainies.

Tambah Ruhainies, disebabkan takut mendengar suara lelaki di luar rumahnya dan atas faktor keselamatan, dia membuat keputusan menunggu ketibaan adik-beradiknya, sebelum dimaklumkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan polis yang berada di rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Turut sama adalah isteri Aliff, Bella Astillah dan pihak media.

“Setelah berbincang dan ada budi bicara agar pihak berwajib sahaja yang ada di depan pintu, barulah saya buka.

“Selepas dijalankan pemeriksaan, tidak ada apa-apa berlaku tetapi hanya mengikut prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, saya hanya perlu memberi keterangan sahaja. Setelah selesai, saya pulang ke rumah,” katanya.

Dalam pada itu, dia mengakui kekhilafannya di sisi agama, kerana berada dalam situasi tersebut sekali gus menimbulkan syak wasangka negatif yang sepatutnya dapat dielakkan.

Bukan itu sahaja, Ruhainies berharap dapat menjernihkan semula hubungan dengan Bella dan rakan baiknya itu tidak meneruskann hasrat untuk berpisah.

“Saya sayangkan persahabatan saya dengan Bella dan saya berharap agar dia dan Aliff tidak akan berpisah. Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Bella apabila dia sudah bersedia,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Aliff menerusi ‘skrip’ permohonan maaf yang hampir sama turut mengakui tidak sepatutnya berada di dalam rumah Ruhainies walaupun sekadar membantu membawa naik barang penggambaran milik heroin gandingannya menerusi siri Terjerat.

“Cara yang betul adalah kita sepatutnya tunggu di lobi, tetapi sebab tak berfikir ia akan membawa ke situasi yang tidak terjangka, saya naik ke rumahnya.

“Saya hanya berada di dalam rumah, di ruang tamu dan bila situasi itu berlaku, ia memang mengejutkan,” ulasnya.

Bukan mahu menegakkan benang yang basah, bintang berusia 33 tahun itu menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian dan akan dijadikan pengajaran pada masa akan datang.

“Yang salah tetap salah. Saya bukan nak menegakkan benang yang basah, tetapi saya ingin memohon maaf atas kekhilafan saya. Namun ingin saya jelaskan bahawa tidak ada apa-apa yang berlaku antara kami.

“Saya anggap ini sebagai ujian yang akan saya jadikan pengajaran dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Disebabkan kekhilafan saya, akibatnya bukan sahaja merosakkan reputasi saya, tetapi juga keluarga,” jelasnya.

Terdahulu, nama Aliff dan Ruhainies hangat diperkatakan selepas ditangkap khalwat pada awal pagi Sabtu di sebuah unit kondominium mewah milik aktres itu.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 10.30 malam itu, pasukan Jawi terpaksa menunggu hampir tiga jam sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas kedua-dua enggan membuka pintu unit berkenaan.

Aliff dan Ruhainies bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan pada jam 2 petang hari sama dan bakal dibicarakan di mahkamah dalam tempoh terdekat.

Akibat insiden itu, Bella memfailkan permohonan perceraian secara ekspres di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28