Roket ciptaan Jepun meletup selepas lima saat dilancarkan

Roket Kairos Space One yang berpangkalan di Tokyo dilihat meletup di kawasan pantai Wakayama di barat Jepun pada Rabu. Foto Agensi
Roket Kairos Space One yang berpangkalan di Tokyo dilihat meletup di kawasan pantai Wakayama di barat Jepun pada Rabu. Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Sebuah roket buatan sebuah syarikat Jepun dilaporkan meletup selepas lima saat dilancarkan pada Rabu.

Roket Kairos Space One setinggi 18 meter yang berpangkalan di Tokyo dilihat meletup di kawasan pantai Wakayama di barat Jepun.

Rakaman secara langsung menunjukkan beberapa saat dilancarkan, roket membawa satelit kecil kerajaan yang berkuasa bahan api pepejal itu meletup dalam kebakaran dan menghasilkan kepulan asap putih di sekitar kawasan pergunungan terpencil.

"Pelancaran roket Kairos yang pertama telah dilaksanakan, tetapi kami mengambil langkah untuk membatalkan penerbangan itu," kata Space One dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa punca kejadian sedang disiasat.

Serpihan roket dilihat jatuh di lereng gunung-gunung berdekatan dan pada masa sama sistem pemercik air diaktifkan dalam adegan dramatik yang disaksikan ratusan penonton yang berkumpul di kawasan tontonan awam berhampiran kawasan pantai.

Kegagalan terbaharu ini satu lagi tamparan atas usaha Jepun untuk menembusi pasaran pelancaran satelit yang dikatakan sangat menguntungkan. - AFP

Artikel Berkaitan: