Maghribi salur 40 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza

Angkatan Bersenjata Diraja (FAR) Maghribi berdiri di sebelah bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza dan dikendalikan di Lapangan Terbang Ben Guiron Israel di Tel Aviv. - Foto AFP
Angkatan Bersenjata Diraja (FAR) Maghribi berdiri di sebelah bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Gaza dan dikendalikan di Lapangan Terbang Ben Guiron Israel di Tel Aviv. - Foto AFP
A
A
A

RABAT - Kerajaan Maghiribi telah menghantar 40 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui lapangan terbang Israel, menurut sumber diplomatik sebagai usaha terbaharu mempelbagaikan laluan bantuan ke wilayah dilanda perang.

Sumber diplomatik Maghribi memberitahu AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata, bantuan makanan itu telah tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv sebelum dipindahkan ke Bulan Sabit Merah Palestin di persimpangan Kerem Shalom terletak antara Israel dan Gaza.

Kementerian Luar Negeri Rabat berkata dalam satu kenyataan bahawa 'Maghribi merupakan negara pertama salur bantuan kemanusiaan melalui laluan darat yang tidak pernah berlaku sebelum ini'.

Sejak perang bermula 7 Oktober 2023, kebiasaannya trak bantuan memasuki Genting Gaza melalui Mesir.

Bagaimanapun, pegawai Israel tidak dapat mengesahkan sama ada inisiatif Maghribi itu adalah laluan darat pertama untuk bantuan asing melalui wilayah Israel.

Sumber diplomatik itu berkata, hubungan Magribi dengan Israel diformalkan dalam pakatan normalisasi yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2020, sehingga membantu usaha bantuan ini.

"Maghribi sentiasa berkata bahawa hubungan dengan Israel bertujuan memberikan keamanan di rantau ini dan kepentingan rakyat Palestin," kata sumber itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran mengenai kebuluran yang semakin teruk di Gaza selepas dikepung Israel selepas pejuang Hamas melancarkan serangan di wilayah itu pada 7 Oktober lalu yang kini memasuki bulan keenam.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, sebuah bot dari Sepanyol membawa 200 tan bantuan makanan ke Gaza dengan menggunakan laluan pelayaran dari Cyprus dengan harapan dapat membuka koridor maritim bagi mengurangkan krisis kemanusiaan yang teruk.

Dalam masa sama, empat kapal tentera AS meninggalkan negaranya dan membawa peralatan untuk membina pelabuhan sementera di pantai Gaza bagi memudahkan penghantaran bantuan. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28