Wajah baharu Speedy Tigers

Sarjit. Foto Bernama
Sarjit. Foto Bernama
A
A
A

BUAT julung kali dalam sejarah, kelompok pemain yang besar seramai 46 orang dipanggil menyertai sesi pemilihan untuk skuad hoki lelaki negara di bawah bimbingan ketua jurulatih, Sarjit Singh.

Senarai itu bagaimanapun agak mengejutkan apabila empat pemain bintang tercicir termasuk pakar pukulan sudut penalti (PC), Muhammad Razie Abdul Rahim, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Shahril Saabah dan Faiz Helmi Jali.

Namun Sarjit memiliki alasan tersendiri mengenepikan mereka menjelang sesi pemilihan yang dijadual bermula 19 Mac ini dan akan berlangsung selama dua hingga tiga minggu.

"Mereka (Najmi dan Razie) adalah bekas pemain saya. Saya ada bercakap dengan mereka dan Razie meluahkan hasrat untuk bersara. Jadi tiada isu. Apapun kita boleh panggil dia untuk bantu, sebab dia pakar PC," katanya kepada media mengumumkan senarai pemain di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Selepas itu, senarai akan dikecilkan kepada 30 orang dengan 18 pemain bakal disenaraikan bagi menyertai saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) pada 4 hingga 11 Mei depan serta Piala Negara-Negara di Gniezno, Poland (31 Mei hingga 9 Jun).

Beliau menjelaskan mereka dipilih selepas mempamerkan prestasi cemerlang ketika saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini dan layak untuk diberikan peluang membuktikan kemahiran kepada barisan kejurulatihan.

Tambahnya, skuad yang akan dibentuk tersebut adalah bagi tempoh masa panjang dan atas faktor itu ramai pemain muda diberikan peluang untuk menyertai skuad senior kebangsaan.

"Sasaran kita adalah dua tahun setengah, iaitu Sukan Asia (2026), jadi pemain diberikan peluang untuk buktikan mereka berhak untuk berada dalam pasukan kebangsaan. Pemain-pemain yang dipanggil ini akan mendapat peluang yang banyak untuk bersaing sesama sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali jurulatih baharu ambil alih pasukan, mereka ada perancangan empat hingga enam tahun. Bukan saya kata pemain lama itu tidak bagus tetapi kalau ada pemain muda yang mampu ambil tanggungjawab, kita senaraikan mereka," katanya.

Meskipun tanpa kelibat Razie dan Najmi, Sarjit masih memanggil beberapa pemain berpengalaman seperti penyerang berbisa, Faizal Saari, Mohd. Fitri Saari, Muhammad Marhan Jalil dan Muhammad Hafizuddin Othman.

Beliau berkata, wajah baharu skuad Speedy Tigers itu akan menjadikan Faizal, Marhan dan Fitri sebagai nadi pasukan dalam usaha beliau membentuk sebuah skuad terbaik.

"Kita ada empat pemain yang berusia lebih 30 tahun iaitu Marhan, Faizal, Fitri dan Hafizuddin. Kita semua tahu Faizal, Fitri dan Marhan adalah pemain luar biasa, jadi kita akan bina pasukan berpandukan mereka," ujarnya.

Jurulatih berusia 62 tahun itu memberitahu, biarpun pemain yang dipanggil itu dalam jumlah yang besar, namun mereka akan diberikan peluang untuk beraksi dan menentang sesama sendiri menerusi pembentukan tiga pasukan.

“Kita akan main lapan perlawanan dan beri semua pemain peluang beraksi. Setiap pasukan akan ada 15 hingga 16 pemain. Secara keseluruhan ada 480 minit permainan dan setiap pemain akan dapat minimum 320 minit permainan.

"Kalau pemain tunjuk kemahiran dan buktikan mereka layak, jadi mereka akan masuk pasukan kebangsaan. Kita beri peluang kepada semua pemain muda yang merupakan masa depan hoki negara,” ujar Sarjit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!