[VIDEO] Warga emas didakwa bunuh abang, kakak ipar

A
A
A

MANJUNG - Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa kerana membunuh sepasang suami isteri di sebuah ladang kelapa sawit dekat Pantai Remis, minggu lalu.

Tertuduh, Chee Kooi Heng, 63, hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan adik kandung kepada si mati didakwa dengan niat membunuh Chee Khoi Sia, 74, di dalam ladang kelapa sawit dekat Mukim Pengkalan Baharu, Pantai Remis antara jam lebih kurang 3 petang hingga 3.30 petang pada 5 Mac 2024.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat membunuh kakak iparnya, Koh Eng Lai, 70, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Chee Kooi Heng (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa kerana membunuh sepasang suami isteri di sebuah ladang sawit dekat Pantai Remis, minggu lalu.
Chee Kooi Heng (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Selasa kerana membunuh sepasang suami isteri di sebuah ladang sawit dekat Pantai Remis, minggu lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung atau penjara tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati boleh disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili Peguam CC Keong.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 29 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Warga emas terbabit berjaya ditahan selepas polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 3.30 petang.

Sinar Harian melaporkan, mayat suami isteri itu dijumpai dalam ladang dengan kecederaan di kepala dan muka kesan dilibas dengan sabit sawit.

Siasatan dijalankan mendapati, telah berlaku pertengkaran antara suspek dengan kedua-dua mangsa sebelum kejadian berpunca daripada perebutan harta tanah kebun.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28