Murid Tahun 4 cedera, langgar kereta ketika melintas

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk mendapatkan rawatan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang murid Tahun 4 cedera selepas melanggar sebuah kereta ketika hendak melintas di Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36 di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 petang ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

"Kejadian berlaku apabila seorang wanita berumur 40 tahun yang memandu kenderaan jenis Proton Exora telah memotong sebuah bas sekolah yang berhenti.

"Tiba-tiba seorang pelajar sekolah (mangsa) telah turun dari bas dan melintas jalan di hadapan bas itu sebelum melanggar pintu hadapan sebelah kiri kereta terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa berusia 10 tahun yang cedera di bahagian kaki kanan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Zulkifli Razak di talian 019-4475767.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: