Ketegangan AS-Iran: Malaysia pantau situasi 24 jam

Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama antara Kementerian Luar Negeri dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Wisma Putra hari ini. - Foto: Bernama
Saifuddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama antara Kementerian Luar Negeri dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Wisma Putra hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia kini memantau rapat perkembangan di Asia Barat secara 24 jam sebelum membuat keputusan memindahkan rakyat Malaysia di Iran dan Iraq, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat (AS) berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat lalu.

"Pemindahan itu belum lagi...kita dah mula mesyuarat antara agensi dan yang berkaitan dan pantau 24 jam apa yang berlaku di sana.

“Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) kita di Tehran juga sentiasa berhubung dengan kita, begitu juga Malawakil kita yang berdekatan contohnya di Jordan, sentiasa memberi laporan kepada kita," katanya ketika diminta mengulas perkembangan ketegangan AS dan Iran.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama antara Wisma Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang akademik, kebudayaan dan penyelidikan di sini hari ini.

"Pemindahan nampak mudah...tapi pastinya tidak seperti pergi untuk lawatan dan lebih-lebih lagi kita tidak boleh umum rancangan kita demi keselamatan rakyat kita namun kita melakukan semua persediaan yang diperlukan,” katanya.

Saifuddin berkata, Wisma Putra telah mengeluarkan nasihat perjalanan dan berharap rakyat Malaysia di Iran dan Iraq serta yang ingin membuat perjalanan ke sana perlu mengambil langkah keselamatan.

Terdapat 163 rakyat Malaysia di Iraq yang kebanyakannya adalah kakitangan Petronas dan beberapa orang pensyarah manakala 73 orang di Iran pula berdaftar dengan Malawakil di Tehran.

Artikel Berkaitan:

Berikutan ketegangan itu, kerajaan Filipina semalam mengarahkan pemindahan mandatori pekerja Filipina dari Iraq dan Iran dan menghantar sebuah kapal pengawal pantai ke Asia Barat bagi membawa rakyatnya sekiranya keadaan bertambah buruk.

Dilaporkan ketegangan antara AS dan Iran reda selepas Presiden Donald Trump memberikan kenyataan berkaitan serangan Iran terhadap pangkalan tentera AS di Iraq, Selasa lalu. - Bernama