152 penari cilik gamelan di Terengganu catat rekod MBOR

Ahmad Ridzwan (baju biru) menerima sijil Anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) dari wakil MBOR Nazrul Hafizi (tengah) pada Majlis Minum Petang Se-Abad Gema Gemalai Gamelan Melayu-Senandung Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam hari ini. Foto Bernama

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 152 penari cilik Tunas Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu (Suktra) hari ini melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Bilangan Pelajar Paling Ramai Dalam Tarian Gamelan Melayu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, tarian berdurasi kira-kira lapan minit itu disertai murid-murid berumur lapan hingga 12 tahun dari 13 sekolah terpilih di seluruh negeri.

Beliau berkata, mereka mendapat bimbingan kira-kira 18 jurulatih daripada Jabatan Pelancongan Terengganu dan sesi latihan telah bermula setahun lepas.

Seramai 152 penari cilik Tunas Kumpulan Pemuzik dan Penari Tetap Negeri Terengganu (Suktra) melakukan persembahan pada Majlis Minum Petang Se-Abad Gema Gemalai Gamelan Melayu-Senandung Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam hari ini. Foto Bernama

"Kalau ikutkan kita ada lebih 300 penari cilik di lebih 20 sekolah namun tidak semua yang kita ‘keluarkan’ pada hari ini.

"Hasrat kita dalam mencipta rekod di Malaysia Book of Records ini adalah bagi memastikan seni muzik dan tarian gamelan Melayu bukan sahaja tidak akan pupus, malah kita hendak pastikan ia berkembang ke peringkat negara dan seantero dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Se-Abad Gema Gemalai Gamelan Melayu-Senandung Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Pada majlis itu para penari cilik Tunas Suktra mempersembahkan tarian gamelan bertajuk ‘Ketam Renjong’ selama lebih kurang lapan minit dengan diiringi 17 pemuzik.

Artikel Berkaitan:

Sejurus selepas persembahan tersebut, Ahmad Ridzwan menerima Sijil Anugerah MBOR daripada wakil MBOR, Nazrul Hafizi.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil. - Bernama