PRK Cameron Highlands: BN bakal letak calon Orang Asli?

No Image Caption
A
A
A

LIPIS– Tidak sampai 24 jam lagi teka teki siapa calon BN yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan terjawab apabila pengumuman berhubung perkara itu dijadual akan dilakukan di ibu negara esok.

Sebelum ini timbul desas-desus menyatakan Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bakal bertanding di kawasan itu memandangkan beliau kini 'kosong' dan tidak mempunyai kawasan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan Mohamad di Dun Rantau pada PRU yang lalu.

Bagaimanapun ada desas-desus terbaharu mengatakan BN bakal meletakkan calon dari masyarakat Orang Asli pada PRK itu dalam usaha menarik undi Orang Asli dan orang Melayu yang merupakan lebih 50 peratus daripada jumlah 32,048 pengundi di kawasan berkenaan.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang ditemui pemberita bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu dan hanya membayangkan calon yang dipilih 'akan menggembirakan semua'.

“Kita akan pilih calon yang boleh menang. Sudah tentu pilih calon yang boleh mendekati rakyat dan ikut kehendak pengundi. Kita tunggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan bagi murid di kawasan Dun Jelai di Felda Sungai Koyan dekat sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan BN melalui Umno dijangka membuat kejutan dengan meletakan calon anak tempatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli pada PRK Cameron Highlands tidak lama lagi.- Bernama

Artikel Berkaitan: