Miss Globe 2023, Manvin Khera aktif kerja amal

Aanvi Kher bersama NGO Trash Hero melakukan aktiviti amal sekitar ibu negara.
Aanvi Kher bersama NGO Trash Hero melakukan aktiviti amal sekitar ibu negara.
A
A
A

BUKAN sahaja mempunyai penampilan cantik gadis berusia 23 tahun, Manvin Khera cukup dikenali ramai selepas dinobatkan juara Miss Globe 2023 kini aktif menerusi kerja amal yang dilakukan.

Beliau yang mesra dipanggil Aanvi Kher menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Trash Hero sejak 2022 banyak melaksanakan aktiviti pembersihan di sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu.

Ujarnya, aktiviti itu memberi kesedaran tentang kepentingan pengurusan sampah dan mengajak masyarakat mengurangkan penggunaan plastik.

"Pemanasan global adalah fenomena yang sedang berlaku dan ia secara tidak langsung berpunca daripada aktiviti manusia.

"Oleh yang demikian, setiap individu perlu bertanggungjawab ke atas bumi yang menjadi tempat tinggal kita dengan menjaga kebersihan alam sekitar," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Aanvi Kher
Aanvi Kher

Bukan itu sahaja, malah kedua ibu bapanya turut serta meluangkan masa menghulurkan sumbangan makanan kepada gelandangan di sekitar ibu negara pada setiap bulan.

"Sebenarnya, ibu bapa saya sudah mengambil inisiatif untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan tersebut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 lagi.

Artikel Berkaitan:

"Mereka berdua selalu berpesan setiap kebaikan yang kita lakukan akan diberi ganjaran setimpal," ujar gadis berketurunan Punjabi itu.

Figura anak muda berkenaan merangkul gelaran Miss Globe di pertandingan ratu cantik antarabangsa pada November lalu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Kemenangan tersebut juga menyaksikan Aanvi Kher berjaya memikat hati juri sekali gus mengalahkan 52 wakil dunia seperti Sepanyol, Filipina, Nigeria dan Amerika Syarikat.

Apa yang lebih membanggakan, Miss Globe pertama Malaysia itu turut dimahkotakan sebagai Miss Talent dalam pertandingan yang berlangsung di Durres, Albania itu.

Kata personaliti tinggi lampai tersebut, beliau tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang model apa lagi bergelar ratu cantik sementelah dirinya kurang arif tentang pertandingan terbabit.

Bagaimanapun, bak kata peribahasa Melayu jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu, gadis comel dan manis serta petah bertutur Melayu itu ada kisahnya tersendiri.

"Segalanya bermula apabila saya mengikuti rakannya menghadiri satu acara pertunjukan fesyen, saya dipelawa untuk menjadi model selepas potensi diri dilihat oleh seorang guru catwalk, Nizam Jalil pada acara tersebut.

"Pada awalnya saya teragak-agak untuk mencuba tetapi dengan keyakinan dan sokongan daripada keluarga, saya memberanikan diri," katanya.

Ujarnya, impian yang terkubur semasa di bangku sekolah kerana gagal mewakili negara dalam bidang sukan kembali subur semula apabila mendapat tahu dirinya berpeluang untuk mewakili negara dalam pertandingan ratu cantik terbabit.

Kata Aanvi Kher, ketika itu beliau amat gembira kerana cita-citanya untuk mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia tercapai.

Bagaimanapun, ia bukan suatu perjalanan yang mudah kerana Aanvi Kher perlu mengikuti banyak latihan.

"Selain 'catwalk' dan cara mendandan diri, saya turut mempersiapkan diri dengan teknik berkomunikasi dan pengucapan awam.

"Saya juga perlu memenuhi kriteria pertandingan seperti membuat hantaran di media sosial bagi menilai peranan serta sumbangan peserta kepada masyarakat.

"Semua peserta tidak kurang hebatnya, namun saya sangat bersyukur apabila terpilih sebagai juara, pengorbanan saya menangguhkan pelajaran selama setahun untuk memberi fokus kepada persiapan pertandingan juga berbaloi apabila disarungkan mahkota Miss Globe 2023," tuturnya.

Tambah pelajar jurusan undang-undang di Brickfields Asia Collage itu, setiap individu perlu mempunyai tekad yang jitu dan tidak cepat mengalah sekiranya diuji dengan kegagalan.

Aanvi kini sedang menghabiskan pembelajarannya dalam bidang undang-undang dan berimpian memiliki perniagaan sendiri dalam bidang fesyen serta bergelar seorang peguam dalam masa tiga tahun lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28