Angka korban di Gaza sudah cecah 30,000

Seorang pemuda Palestin berdiri di celahan runtuhan rumah di Rafah. AFP
Seorang pemuda Palestin berdiri di celahan runtuhan rumah di Rafah. AFP
A
A
A

SEMENANJUNG GAZA - Kementerian kesihatan yang dikendali Hamas memaklumkan lebih 30,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sejak perang meletus antara Israel dan pejuang Hamas hampir lima bulan lalu.

Sekalipun pengantara berkata perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, namun agensi bantuan memberi amaran mengenai kebuluran yang memuncak di utara Gaza.

Jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata, ramai kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan, dehidarasi dan kebuluran di Hospital Al-Shifa.

Beliau turut meminta tindakan segera diambil organisasi antarabangsa untuk mencegah lebih banyak kematian khususnya melibatkan kanak-kanak.

Ketua Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), Samantha Power berkata, Israel perlu membuka lebih banyak lintasan supaya 'bantuan kemanusiaan dapat ditingkatkan'.

"Ini adalah soal hidup dan mati," kata Power dalam video yang disiarkan di platform media sosial X.

Terbaharu, sekurang-kurangnya 79 terkorban dalam tempoh semalaman di seluruh Semenanjung Gaza, kata kementerian kesihatan pada Khamis.

Pengantara dari Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) sudah berusaha selama enam minggu untuk rundingan gencatan senjata dan berharap dapat dilaksanakan sebelum Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Antara cadangan dikemukakan pengantara terbabit termasuklah pembebasan beberapa tebusan Israel yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk ratusan warga Palestin yang ditahan oleh Israel.

Kempen tentera serangan balas Israel di Gaza telah menyebabkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal, dengan hampir 1.5 juta orang kini berkerumun di Rafah.

Sebagai tanda semakin terdesak dalam kalangan penduduk Gaza berhubung keadaan hidup, satu protes diadakan pada Rabu. - AFP