Lebih 6,000 guru bersara pilihan tahun lepas

 Seramai 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru telah diluluskan untuk bersara pilihan sepanjang tahun lepas.Gambar hiasan
Seramai 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru telah diluluskan untuk bersara pilihan sepanjang tahun lepas.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru telah diluluskan untuk bersara pilihan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, berdasarkan rekod, jumlah itu menunjukkan peningkatan sedikit berbanding tahun sebelumnya, iaitu 5,306 atau 1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru.

"KPM telah melaksanakan Kajian Tinjauan Faktor-Faktor Persaraan Awal Guru dan Kaitannya dengan Pembangunan Profesionalisme Keguruan pada 2022.

"Dapatan kajian menunjukkan bahawa antara faktor guru memilih persaraan awal bersara pilihan ialah kedudukan kewangan stabil, faedah persaraan, masalah kesihatan dan perubahan pelaksanaan dasar dan pendigitalan pendidikan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada terdapat peningkatan jumlah guru yang bersara awal dan faktor menyebabkan peningkatan jumlah itu serta penyelesaian holistik kerajaan dalam menangani isu terbabit.

Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengumumkan 10 perkara bagi menjaga kebajikan guru antaranya memperkasakan pengurusan pengambilan guru agar kekosongan di sekolah dapat dipenuhi dengan segera dan langkah ini memberikan semangat baharu kepada guru-guru.

"KPM juga prihatin terhadap tahap kesejahteraan psikologi guru dengan menyediakan kemahiran pengurusan emosi, kawalan diri dan amalan harian yang positif berdasarkan tahap kesejahteraan psikologi yang dinilai melalui Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi). Selain itu, KPM turut menyediakan perkhidmatan kaunseling, konsultasi dan advokasi,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: