MPA, PPPA gesa kerajaan kecualikan caj SST ditanggung pesakit jalani fisioterapi

Fisioterapi adalah satu proses sepanjang hayat untuk individu tertentu dan caj SST boleh menghalang pesakit daripada mendapatkan hasil terbaik daripada sesuatu rawatan. - Gambar hiasan 123RF
Fisioterapi adalah satu proses sepanjang hayat untuk individu tertentu dan caj SST boleh menghalang pesakit daripada mendapatkan hasil terbaik daripada sesuatu rawatan. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) dan Private Practitioners' Physiotherapy Association (PPPA) menggesa kerajaan supaya mengecualikan terus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang ditanggung oleh pesakit yang menjalani fisioterapi di semua klinik swasta di dalam negara.

Setiausaha MPA, Joachim Fernandez berkata, caj SST terhadap perkhidmatan fisioterapi ditawarkan di klinik swasta akan menambah beban kewangan pesakit yang tidak sepatutnya hanya kerana mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan.

"Cukai tambahan ini boleh menjadikan kos sara hidup yang tinggi ditanggung ramai orang sekarang ini meningkat lagi, seterusnya menghalang pesakit terutamanya dari luar bandar daripada mendapatkan rawatan fisioterapi yang penting dan berkualiti di klinik berhampiran mereka,” katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh MPA dan PPPA berkenaan isu ini pada Rabu.

Tambahan pula, beliau berkata, satu surat rayuan bersama oleh kedua-dua pihak supaya SST dikecualikan daripada semua bentuk rawatan fisioterapi telah dihantar ke Kementerian Kewangan minggu lepas dan mereka mendakwa tiada maklum balas diterima setakat ini.

Sementara itu, Presiden PPPA, Ben Loo berkata, fisioterapi adalah satu proses sepanjang hayat untuk individu tertentu dan caj SST boleh menghalang pesakit daripada mendapatkan hasil terbaik daripada sesuatu rawatan.

"Caj SST mungkin nampak kecil jika rawatan fisioterapi dilakukan hanya beberapa kali tetapi untuk penghidap palsi serebrum, rawatan fisioterapi mereka adalah sepanjang hayat.

"Ini tidak termasuk kos fisioterapi itu sendiri, pesakit atau keluarga mereka mungkin membayar beratus atau beribu ringgit untuk SST sahaja, yang tidak dinafikan akan memberi kesan kepada kemampuan kewangan mereka dalam jangka masa panjang,” katanya.

Pada masa ini pesakit yang mendapat rawatan fisioterapi di klinik swasta dikenakan cukai SST sebanyak enam preratus dan cukai SST akan dinaikkan kepada lapan peratus pada 1 Mac ini seperti diumumkan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: