Tang Jie-Ee Wei harus sabar

Tang Jie-Ee Wei akan berdepan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi pembukaan Seluruh England 2024 di Birmingham, bulan depan.
Tang Jie-Ee Wei akan berdepan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi pembukaan Seluruh England 2024 di Birmingham, bulan depan.
A
A
A

KESABARAN yang tinggi akan menjadi kunci utama buat beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sekiranya mahu menewaskan juara dunia 2021 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi pembukaan Seluruh England 2024 di Birmingham, England, bulan depan.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berkata, pasangan tersebut khususnya Tang Jie gemar beraksi dengan terburu-buru bagi mendapatkan mata berdasarkan persembahan yang ditampilkan ketika tumpas 12-21, 18-21 kepada lawan mereka pada final Masters Thailand 2024 awal bulan ini.

“Saya selalu cakap dengan mereka sama ada tahan atau tidak... permainan mereka (Dechapol-Sapsiree) tidak terlalu bahaya cuma pertahanan sahaja kuat.

“Pasangan kita harus sabar khususnya Tang Jie, terlalu cepat mahu matikan (permainan) lawan, saya sudah banyak kali cakap kamu terlalu hendak cepat, jadi harus sabar dan cari peluang matikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Berdasarkan rekod enam pertemuan setakat ini, Tang Jie-Ee Wei hanya pernah menang sekali ke atas pasangan ranking keenam dunia itu iaitu ketika suku akhir Terbuka Artik 2023 Oktober lepas.

Dalam pada itu, Nova meletakkan sasaran kepada anak buahnya yang menghuni ranking kesembilan dunia itu untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir Terbuka Perancis 2024 di Paris pada 5 hingga 10 Mac ini sebelum saingan Seluruh England 2024 pada 12 hingga 17 Mac.

Katanya, amat penting bagi mereka menampilkan prestasi memberangsangkan pada dua kejohanan tersebut bagi melonjakkan semula ranking ke lapan terbaik dunia, sekali gus mencerahkan peluang untuk menjadi antara lapan pilihan utama pada kejohanan mendatang.

Tang Jie-Ee Wei akan membuka tirai saingan Terbuka Perancis 2024 menentang rakan senegara yang juga gandingan profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bekas pemain Indonesia itu berharap agar Ee Wei mampu pulih sepenuhnya daripada kecederaan tangan kanan yang dialami sewaktu Masters Thailand 2024.

“Saya rasa mereka sudah bersedia namun sekiranya kondisi (masih) tidak bagus, mereka juga harus menentang,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28