29 tahun menghilang, keluarga mahu Rosidi pulang

Razman menunjukkan gambar lama adiknya yang masih disimpan. Gambar kecil: Rosidi (baris belakang, empat dari kiri).
Razman menunjukkan gambar lama adiknya yang masih disimpan. Gambar kecil: Rosidi (baris belakang, empat dari kiri).
A
A
A

JELEBU - Sebuah keluarga di Kampung Chenderak dekat sini masih berharap adik kandung mereka pulang ke pangkuan keluarga selepas 29 tahun menghilangkan diri.

Anak ke empat daripada tujuh beradik itu, Rosidi Abd Malik yang kini berusia 54 tahun dikatakan membawa diri selepas ibu bapa mereka berpisah.

Menurut abang ketiganya, Razman Abd Malik, 55, alamat terakhir adiknya itu dikesan di Ampang, Kuala Lumpur namun kediaman berkenaan kini dihuni oleh orang lain.

"Masa dia keluar rumah dulu, kami tidak ada selisih faham ataupun bergaduh, cuma kami fikir dia ingin mencari pekerjaan di bandar namun tidak sangka pula sehingga kini dia tidak pulang-pulang.

"Bagaimanapun, masa mak, Zainun@Rubiah Ali meninggal pada tahun 2002 akibat kanser rahim, dia ada menghubungi kami tetapi hanya melalui telefon sebelum gagal dikesan semula selepas itu," katanya ketika ditemui pemberita.

Razman berkata, usaha mengesan adiknya itu tidak pernah terhenti berikutan perasaan rindu begitu menebal bahkan mahu Rosidi pulang ke kampung menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini dengan keluarga di sini.

Razman (kanan) ketika menunjukkan gambar Rosidi kepada rakannya.
Razman (kanan) ketika menunjukkan gambar Rosidi kepada rakannya.

"Kami tidak pasti sama ada dia sudah berkeluarga ataupun belum, apa pun kami tetap menerima seadanya selain tidak mahu lagi hubungan kekeluargaan terputus sebab sudah terlalu lama dia menghilang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razman berharap adiknya itu dapat pulang ke pangkuan keluarga untuk mengeratkan kembali hubungan keluarga selain mahu menyelesaikan beberapa perkara termasuk urusan tanah pusaka ibu mereka di Kampung Kelaka dekat sini.

Katanya, buat masa ini mereka sukar mencari gambar adiknya itu kerana banyak gambar rosak serta terpaksa dibuang akibat banjir besar yang melanda kampung tersebut pada penghujung tahun 2021 yang lalu.

Justeru katanya, orang ramai atau mana-mana individu yang mengenali adiknya segera menghubunginya di talian 017-2584406 atau kakak sulungnya, Rosmah Abd Malik, 017-4958040.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28