Bekerja di Malaysia atau luar negara?

Trend bekerja di luar negara itu dijangka akan terus meningkat pada masa yang akan datang. Gambar hiasan 123RF
Trend bekerja di luar negara itu dijangka akan terus meningkat pada masa yang akan datang. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MEMANDANGKAN kos sara hidup yang semakin meningkat akibat peningkatan harga barangan dan perkhidmatan asas, rakyat mempunyai beberapa pilihan untuk bertahan iaitu mengurangkan perbelanjaan atau menambah pendapatan.

Trend terkini menunjukkan kebanyakannya lebih memilih untuk menjana pendapatan dengan membuat lebih daripada satu pekerjaan dan tidak kurang juga yang berhijrah ke luar negara bagi meningkatkan ekonomi mereka.

Sebelum ini, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, dianggarkan 66.7 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menerima pendapatan S$1,500 (RM5,330) hingga S$3,599 (RM12,780) manakala 18.5 peratus pula menerima gaji antara S$3,600 (RM12,800) dan S$9,999 (RM35,530) sebulan.

Justeru, tidak dapat dinafikan majoriti rakyat Malaysia yang memilih untuk bekerja di luar negara disebabkan pendapatan lebih lumayan akibat kadar pertukaran mata wang antara negara yang berlipat kali ganda.

Tinjauan Sinar Harian mendapati bahawa pelbagai maklum balas diterima berhubung rakyat Malaysia yang sanggup berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan gaji lumayan.

Ada yang bersetuju bahawa mereka wajar berhijrah seperti ke Singapura, Brunei, Australia dan sebagainya, malah tidak kurang juga yang berpandangan sebaliknya.

Namun, masing-masing mempunyai hujah dan pendapat tersendiri dalam isu terbabit.

SOKONG Banyak perkara pelu dikorbankan jika bekerja luar negara

Artikel Berkaitan:

Saya lebih memilih untuk bekerja di dalam negara sahaja kerana bidang pekerjaan mahir yang ditawarkan di luar negara sebenarnya jauh lebih rendah jika dibandingkan secara teliti.

Sememangnya tidak dapat dinafikan faktor gaji lumayan disebabkan perbezaan kadar pertukaran mata wang menjadi punca rakyat Malaysia tergila-gila dengan tawaran tersebut.

Namun, saya berpandangan tidak berbaloi bekerja di luar negara semata-mata untuk mendapatkan gaji tinggi.

Banyak perkara yang perlu dikorbankan terutamanya dari segi masa dan tenaga lebih-lebih lagi bagi mereka yang terpaksa berulang-alik seperti bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor.

Nur Amira Roslan
Nur Amira Roslan

Malah, saya rasa sama sahaja kalau mereka bekerja di Malaysia jika terpaksa tinggal di sana dengan kos sara hidup tinggi dari segi makanan, rumah atau bilik sewa, perubatan dan sebagainya.

Selain itu, negara juga boleh kehilangan serta kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir jika masih ramai yang memilih untuk bekerja di luar negara.

Hal ini semestinya akan menyebabkan peluang pekerjaan dalam negara lebih banyak diisi oleh warga asing dan dalam masa yang sama berlaku lambakan golongan berkenaan.

Oleh itu, kita perlu bersedia dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal untuk mengelakkan lebih banyak rakyat migrasi seterusnya merugikan negara.

- Penulis, Nur Amira Roslan, 31

Kalau tanya mengenai gaji, sememangnya ramai memilih untuk bekerja di luar negara seperti Singapura, Brunei dan Australia disebabkan gaji di sana lebih tinggi berbanding Malaysia.

Mungkin kebanyakan mereka yang berhijrah ada target seperti ingin melangsaikan hutang atau menabung tetapi mereka tetap akan kembali ke negara sendiri satu hari nanti.

Namun, berdasarkan pengalaman saya yang pernah bekerja di Singapura selama satu tahun dan beberapa bulan di Australia, saya lebih memilih bekerja di Malaysia sahaja seperti sekarang.

Ini kerana salah satu faktor saya berhenti bekerja di salah sebuah syarikat di Singapura disebabkan saya tidak dibenarkan solat.

Azmi Salleh
Azmi Salleh

Tidak dapat dinafikan bahawa hidup saya senang semasa berada di sana kerana majikan sudah menyediakan kenderaan dan duit tol yang memudahkan untuk saya bergerak selain gaji yang lumayan.

Tetapi, saya perlu berkorban dari segi masa kerana terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi dan bagi yang Islam pula, majikan tidak beri kelonggaran untuk solat.

Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan oleh individu sebelum membuat keputusan untuk berhijrah.

Dahulu, saya buat pilihan pergi ke kedua-dua negara tersebut kerana ingin merasakan kerja dengan mata wang dolar dan saya tidak dapat nafikan bahawa ia berbaloi sebenarnya. Bagaimanapun, selepas pengalaman tersebut, saya rasa memadai saya bekerja dan berbakti di Malaysia sahaja, malah lebih memudahkan saya kerana berdekatan dengan isteri serta keluarga.

- Ejen insurans, Azmi Salleh, 40

BANGKANG Gaji lebih lumayan berbanding di Malaysia

Pada pandangan saya, rakyat Malaysia perlu memilih bekerja di luar negara kerana nilai mata wang seperti Singapura dan Brunei jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan kita.

Selain itu, mereka juga berpeluang meneroka pengalaman lebih luas dan mempelajari budaya di tempat baharu.

Annevia Juris
Annevia Juris

Berdasarkan pengalaman saya yang kini sudah memasuki lima bulan bekerja di Singapura, saya dapat menambah tabung simpanan saya berbanding ketika berada di Malaysia.

Namun, tidak dapat dinafikan sememangnya saya menghadapi beberapa kesulitan tetapi kekangan itu cuma pada bulan pertama saya bekerja sahaja.

Antaranya untuk membuat bayaran rumah sewa, pengangkutan dan barang keperluan harian disebabkan baru sahaja berpindah tetapi sekarang saya sudah lebih daripada mampu.

Walaupun saya katakan berbaloi untuk bekerja di luar negara, saya juga mempunyai perancangan untuk pulang ke Malaysia selepas saya mencapai tujuan asal saya berhijrah iaitu untuk menabung sebanyak mungkin.

Semua perkara kita lakukan ada pengorbanan dan saya perlu teruskan kerana tidak ada yang mustahil untuk orang yang terus berusaha.

- Pelatih pengurusan, Annevia Juris, 24

Bekerja di luar negara lebih menguntungkan lebih-lebih lagi dalam bidang mahir yang mana boleh dapatkan gaji jauh lebih tinggi dan mencecah puluhan ribu ringgit.

Saya juga sering mendengar pengalaman rakan-rakan yang pernah bekerja di sana menyebabkan saya terpanggil untuk mengikut jejak mereka suatu hari nanti.

Naufal Zhafri Roslan
Naufal Zhafri Roslan

Selain faktor gaji, mungkin saya juga boleh mempelajari budaya baharu tidak kira sama ada budaya kerja atau cara hidup sesebuah negara.

Dengan pengalaman ini, ia sedikit sebanyak akan membantu saya untuk bersikap lebih terbuka dan menambah pengetahuan baharu.

Rakan-rakan juga ada menceritakan bahawa teknologi yang mereka gunakan jauh lebih maju dan saya rasa ini merupakan peluang untuk saya meningkatkan kemahiran untuk menjadi pekerja lebih kompetitif.

Secara tidak langsung, ia akan menjadi nilai tambah yang dapat digunakan dalam portfolio saya nanti.

Selain itu, saya turut dapat menambah penguasaan bahasa asing selain bahasa saya gunakan ketika ini.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa tidak salah untuk rakyat Malaysia bekerja di luar negara memandangkan gaji yang ditawarkan di negara ini agak rendah dan terhad selain dapat menguasai pelbagai kemahiran lain apabila berhijrah.

- Pekerja swasta, Naufal Zhafri Roslan, 27