PM nafi beras putih Malaysia Madani sokong perbuatan kartel

Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Memperkasakan PKS, 'myimpact SME Hub', serta Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Maybank, di Menara Maybank pada Isnin. - Foto: Bernama
Anwar ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Memperkasakan PKS, 'myimpact SME Hub', serta Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Maybank, di Menara Maybank pada Isnin. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan kononnya cadangan beras putih Malaysia Madani akan menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI).

Anwar berkata, sebaliknya tindakan kerajaan itu dilakukan bagi mengekang campur tangan kartel, namun masih belum ada sebarang keputusan berhubung isu itu setakat ini dan hal itu akan dibincangkan lebih terperinci dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan datang.

"Tidak, kami sedang mengekang campur tangan kartel tetapi kami akan berbincang dengan NACCOL. Tiada lagi keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Maybank dan Pelancaran Program Memperkasa PKS "myimpact SME HUB” di Menara Maybank pada Isnin.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan dan Pengerusi Kumpulan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang meminta Perdana Menteri untuk tidak membenarkan pelaksanaan beras putih Malaysia Madani seperti yang dicadangkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang didakwa seperti menyokong perbuatan kartel mencampurkan beras tempatan dan beras import.

Pada 14 Februari lepas, Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia MADANI yang dijual pada harga maksimum RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit berkuat kuasa 19 Feb ini dengan jangkaan berada di pasaran bermula 1 Mac ini.

Beliau berkata ia bermakna tiada lagi kategori SST dan SSI melainkan Beras Putih Malaysia MADANI sebagai kategori tunggal.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: