Tze Yong cedera, Zii Jia dinasihatkan berehat

Tze Yong (kanan) bersalaman dengan Jason sebelum meninggalkan gelanggang akibat kecederaan pada Jumaat. Foto FB BAM
Tze Yong (kanan) bersalaman dengan Jason sebelum meninggalkan gelanggang akibat kecederaan pada Jumaat. Foto FB BAM
A
A
A

SKUAD badminton negara menerima khabar duka apabila dua pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan Lee Zii Jia mengalami kecederaan ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 memasuki aksi suku akhir pada Jumaat.

Tze Yong yang beraksi pada perlawanan pertama itu hanya mampu bertahan kira-kira tiga minit ketika berdepan Jason Teh dari Singapura sebelum membuat keputusan menarik diri dipercayai akibat kecederaan berulang di bahagian tulang belakang.

Beliau yang ditemui pemberita selepas aksi tersebut mengakui masih berasa sakit di bahagian belakang dan tekad beraksi dalam saingan tersebut untuk membantu pasukan.

"Saya masih ada rasa sakit. Belum pulih 100 peratus. Sempat main beberapa mata sahaja.

"Namun ia bukan alasan, tiada pemain mahu cedera. Setiap pemain mahu berikan yang terbaik. Harap saya cepat sembuh," katanya.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi laman sosial memaklumkan bahawa Tze Yong mendapatkan rawatan di hospital pada Khamis.

"Selepas perlawanan menentang Brunei, Tze Yong telah menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan mengesahkan bahawa dia tidak 100 peratus cergas. Oleh itu, dia direhatkan menentang Kazakhstan dan Taiwan.

"Tze Yong juga telah menjalani rawatan di hospital semalam (Khamis) bagi menghadapi perlawanan menentang Singapura dan memastikan dia berada dalam keadaan terbaik," ujar kenyataan itu menerusi Instagram pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kem negara turut berdepan nasib malang apabila Zii Jia pula mengalami 'sinus' selepas perlawanan menentang Taiwan pada Khamis dan dinasihatkan oleh pegawai perubatan untuk berehat.

"Memandangkan Zii Jia juga jatuh sakit selepas perlawanan menentang Taiwan dan dinasihatkan oleh pakar untuk berehat kerana masalah sinus tersebut.

"Jurulatih memutuskan untuk menurunkan Tze Yong sebagai perseorangan lelaki pertama selain mengekalkan Leong Jun Hao dan Eogene Ewe," kata BAM.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28