PM Anwar rasmi prapeluncuran KEB 2024

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merasmikan Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra pada Rabu. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merasmikan Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu merasmikan Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

KEB 2024 dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan menteri-menteri Kabinet yang lain.

Terdahulu, Perdana Menteri diperkenalkan dengan animasi Mechamato dihasilkan oleh ikon usahawan bumiputera yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Turut diperkenalkan kepada Anwar pada majlis itu ialah logo, tema serta laman mikro Pertandingan Esei dan Pertandingan Pandangan Terbaik yang diadakan bermula hari ini hingga 31 Mac bagi membolehkan orang awam mengemukakan pandangan atau esei.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh urus setia KEB hari ini, kongres itu bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

"Di samping itu, ia akan turut mencadangkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam membuat penilaian mengenai pembangunan bumiputera termasuk tahap penyertaan dan kawalan ekonomi bumiputera,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan "Positif, Progresif, Inovatif", KEB 2024 ialah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi bumiputera khususnya dalam aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang. - Bernama

Artikel Berkaitan: