Malaysia dijangka alami cuaca lebih panas, kering - MetMalaysia

MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu di tiga kawasan di Kedah. Foto Bernama
MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu di tiga kawasan di Kedah. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding sebelum ini susulan ketiadaan hujan dalam tempoh lama.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, negara berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.

“Litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutama di kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan.

“Ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan,” kata kenyataan itu pada Selasa.

MetMalaysia turut memaklumkan, dalam tempoh berkenaan, suhu maksimum harian boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang.

Kata kenyataan itu, suhu tertinggi yang dicatatkan oleh stesen meteorologi utama MetMalaysia adalah 36.9 darjah Celsius iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Februari lalu.

Tambah MetMalaysia lagi, berikutan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia, dijangkakan suhu maksimum harian negara boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

“Dalam keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air. Orang ramai juga dinasihatkan untuk hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas.

Artikel Berkaitan:

“Ikuti saranan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekalkan keadaan sihat semasa cuaca panas,” kata kenyataan itu.

Pada masa sama, MetMalaysia memaklumkan bahawa pihaknya akan sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara.

Maklumat mengenai cuaca terkini boleh didapati menerusi aplikasi mudah alih myCuaca atau dengan melayari laman sesawang dan media sosial rasmi MetMalaysia.