Enam beradik nyaris maut dalam kebakaran

Kesemua kanak-kanak berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kebakaran di sebuah unit rumah di Apartment Idaman pada Isnin.
Kesemua kanak-kanak berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kebakaran di sebuah unit rumah di Apartment Idaman pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Asap tebal disedari jiran menyelamatkan enam beradik yang terperangkap sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba dalam kebakaran di sebuah unit rumah di Apartment Idaman dekat sini pada Isnin.

Menurut sumber, kebakaran terbabit berlaku ketika ibu bapa kepada empat kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki itu tiada di rumah sebelum jiran menghubungi pihak bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 11.15 pagi.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kebakaran.

"Kebakaran melibatkan sofa di bahagian ruang tamu rumah berkenaan, namun tidak melibatkan struktur bangunan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anggota bomba memecahkan pintu gril hadapan untuk menyelamatkan mangsa dalam kebakaran di Apartment Idaman pada Isnin. Kebakaran melibatkan sofa di ruang tamu rumah.
Anggota bomba memecahkan pintu gril hadapan untuk menyelamatkan mangsa dalam kebakaran di Apartment Idaman pada Isnin. Kebakaran melibatkan sofa di ruang tamu rumah.

Menurutnya, enam mangsa terdiri daripada kanak-kanak berumur setahun sehingga 11 tahun dipercayai terperangkap dalam rumah terbabit.

"Anggota bomba menjalankan usaha memecahkan pintu gril hadapan untuk menyelamatkan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mangsa kemudiannya berjaya diselamatkan dan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Ahmad Mukhlis, difahamkan ketika kejadian ibu bapa mangsa berada di hospital disebabkan bapa mereka mengalami masalah sakit jantung.

"Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian," ujarnya.