Pili bomba rosak, penghuni gagal padam kebakaran

Choon Ming (gambar kecil) memberitahu usaha untuk memadam kebakaran berdepan kesulitan apabila pili bomba di tingkat terbabit dikatakan gagal berfungsi.
Choon Ming (gambar kecil) memberitahu usaha untuk memadam kebakaran berdepan kesulitan apabila pili bomba di tingkat terbabit dikatakan gagal berfungsi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan awal penghuni rumah untuk memadam kebakaran di tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, di sini pada Ahad berdepan kesulitan apabila pili bomba di tingkat terbabit dikatakan gagal berfungsi.

Berkongsi detik itu, salah seorang mangsa bagi unit rumah terbabit, Loo Choon Ming, 39, berkata, ketika kejadian, dia dan ibunya berusia 62 tahun berada di rumah dan sedang menonton televisyen kira-kira jam 8 malam.

"Pada mulanya, saya hanya nampak sedikit kepulan asap.

"Namun, kepulan asap itu semakin banyak menyebabkan saya bergegas ke luar rumah melihat apa yang berlaku sebelum nampak api di rumah jiran sebelah dan bantu memadamkan api.

“Kami cuba padamkan api selama kira-kira 20 minit dengan menjirus air, namun gagal sebelum menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Katanya, melihat api semakin marak, dia dan ibunya menyelamatkan diri dengan menuruni tangga sehingga tingkat 15 sebelum menggunakan lif ke tingkat bawah.

Choon Ming yang bekerja sebagai jurujual berkata, apa yang dikesalkan adalah pili bomba yang terletak di tingkat 17 itu tidak berfungsi dengan baik menyebabkan usaha awal bersama jiran memadamkan kebakaran di peringkat awal tidak berjaya.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan rumahnya musnah sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Tiada apa barang yang dapat diselamatkan, semuanya musnah. Nasib baik, saya dan ibu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi berkata, seramai 55 anggota bomba dan tujuh jentera dikejarkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan pada jam 9.19 malam.

"Kejadian dipercayai berpunca dari rumah nombor tiga sebelum merebak ke nombor dua, empat, lima dan enam.

"Api berjaya dikawal pada jam 11.22 malam dan tiada mangsa terlibat walaupun siasatan awal mendapati rumah mempunyai penghuni ketika kejadian, namun mereka berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini.

Beliau berkata, empat balai terlibat dalam operasi ini iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Bandar Tun Razak, BBP Sri Hartamas dan BBP Pudu.

Katanya, seramai 39 anggota dari lain-lain agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terlibat dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, maklumat awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat dalam kejadian berkenaan.

Ujarnya, seramai 50 anggota polis akan ditempatkan di lokasi kejadian bagi tujuan keselamatan dan pemantauan memastikan keadaan berada dalam keadaan baik.

"Siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak bomba dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan," katanya.