Pemilu 2024: Hari sangat bersejarah bagi WTCKL

Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini mula dipenuhi puluhan ribu rakyat Indonesia bagi melaksanakan undian awal sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB, gambar kecil: Irmohizam Ibrahim
Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini mula dipenuhi puluhan ribu rakyat Indonesia bagi melaksanakan undian awal sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB, gambar kecil: Irmohizam Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilihan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai lokasi utama undi awal bagi Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 disifatkan sebagai hari paling bersejarah sejak penubuhan pusat berkenaan kira-kira 43 tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, ia penganjuran terbesar selepas dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Covid-19 sebelum ini.

“Pemilihan kami sebagai lokasi bagi peristiwa bersejarah Indonesia ini menggambarkan keterbukaan dam kesiapsiagaan kami sebagai lokasi penganjuran acara penting bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat dunia.

“Bagi acara kali ini, pihak kami membuat mesyuarat sejak dua bulan lalu dan persiapan penuh dibuat dalam tempoh dua minggu ini. Pelbagai perkara yang kami ambil kira termasuk kehadiran luar biasa rakyat Indonesia yang menunaikan tanggungjawab mengundi awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses undi awal Pemilu Indonesia 2024 di sini pada Ahad.

Tambah Irmohizam, bagi melancarkan proses hari bersejarah buat rakyat negara jiran itu, seramai 300 petugas ditempatkan selain turut dibantu pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya juga ingin memberi jaminan keamanan, keselamatan dan kelancaran bagi setiap pengundi yang menunaikan tanggungjawab hari ini. Malah, pihak kami juga turut mementingkan aspek lain termasuk sistem pengudaraan,” katanya.

WTCKL merupakan salah satu daripada enam pusat pengundian awal yang dibuka di negara ini dengan merekodkan seramai 222,945 pemilih.

Artikel Berkaitan:

Lima lagi pusat pengundian awal yang turut dibuka di Malaysia ialah di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuching, Sarawak.

Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.

Indonesia memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.

Persaingan itu melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.