Kelayakan Olimpik: Sukan lain masih berpeluang - Jefri

Jefri Ngadirin
Jefri Ngadirin
A
A
A

TUGAS untuk merealisasikan impian emas Olimpik sulung negara tidak dibebankan pada skuad terjun sahaja, sebaliknya sukan lain turut dilihat berpeluang untuk sekurang-kurangnya layak ke temasya berprestij itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, walaupun MSN meletakkan sasaran untuk lebih ramai penerjun negara layak pada edisi kali ini, pihaknya tetap melihat prestasi sukan lain yang masih berkesempatan menempah tiket ke Paris hingga Jun ini.

"Sukan lain seperti ping pong, olahraga, renang, menembak, memanah, pelayaran yang boleh layak ke Sukan Olimpik dan mereka kini masih berjuang.

"Jadi kita harap atlet ini dapat layak dan bantu dari segi jumlah kontinjen ke sana (Paris),” katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya.

Jefri berkata, pihaknya tidak terkejut dengan prestasi merudum skuad terjun negara berdasarkan keputusan diraih pada kejohanan sebelum ini.

"Kalau tengok secara individu menunjukkan penurunan daripada prestasi sebelum ini di mana kita teliti daripada markah diperolehi dan bandingkan dengan atlet negara lain. Kita sedar akan prestasi menurun ini sejak dari Birmingham (Sukan Komanwel 2022) lagi,” katanya.

Hanya penerjun berusia 18 tahun Bertrand Rhodict Lises akan membawa cabaran skuad terjun negara ke Sukan Olimpik 2024 menerusi acara 10 meter (m) platform lelaki manakala nama-nama besar seperti Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri gagal melayakkan diri.

Pandelela tidak melepasi had kelayakan acara 10 m platform individu dan seirama wanita (bergandingan dengan Nur Dhabitah), manakala Nur Dhabitah tidak menyerlah dalam 10m platform seirama (bergandingan dengan Pandelela), 3m papan anjal seirama (bergandingan dengan Wendy Ng) dan 3m papan anjal individu pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang sedang berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Justeru Jefri menggesa Persekutuan Renang Malaysia (MS) agar mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan prestasi Bertrand terus cemerlang, selain berusaha melahirkan generasi atlet berpotensi pada masa akan datang.

Keputusan di Doha sekali gus menyaksikan buat kali pertama dalam 24 tahun, tiada penampilan penerjun wanita negara di temasya itu yang secara konsisten beraksi di pentas Olimpik sejak 2000.

Selain Bertrand, atlet Malaysia lain yang telah mendapat tempat di Olimpik ialah Nur Shazrin Latif dari sukan pelayaran, penembak Johnathan Wong, Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal). - Bernama