Iran gagal ke final, Ghalehnoy mohon maaf

Pemain Iran, Sardar Azmoun diasak pemain Qatar, Almahdi Ali Mukhtar pada perlawanan separuh akhir Piala Asia 2023 antara Iran dan Qatar di Stadium Al Thumama pada awal pagi Khamis. Foto Bernama
Pemain Iran, Sardar Azmoun diasak pemain Qatar, Almahdi Ali Mukhtar pada perlawanan separuh akhir Piala Asia 2023 antara Iran dan Qatar di Stadium Al Thumama pada awal pagi Khamis. Foto Bernama
A
A
A

JURULATIH Iran, Ardeshir Ghalehnoy memohon maaf kepada peminat ‘Team Melli’ kerana gagal membawa pasukan tersebut ke final Piala Asia 2023 selepas tewas 2-3 kepada juara bertahan Qatar dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Al Thumama di Doha, malam ini (awal pagi Khamis waktu Malaysia).

Ghalehnoy berkata, pasukan itu mempunyai tanggungjawab untuk menggembirakan seluruh rakyat Iran tetapi kegagalan melakukan penyudahan beberapa peluang terhidang merupakan faktor terbesar yang membawa kepada kekalahan.

"Saya memohon maaf kepada rakyat Iran kerana kita sepatutnya ke final tetapi tidak berjaya. Saya berterima kasih kepada seluruh kakitangan kejurulatihan dan pegawai pasukan serta semua pemain.

"Babak kedua persembahan terbaik kami dengan banyak percubaan yang baik tetapi inilah bola sepak, apabila kita tidak mendapat apa yang kita perlukan daripada peluang yang kita cipta, kita akan dihukum," katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Doha.

Pada masa yang sama, walaupun mempertahankan kelebihanan pasukannya dari segi taktikal namun Ghalehnoy tetap bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu.

"Dari segi taktikal, kami memiliki perlawanan yang sangat baik, jika anda mencari seseorang untuk dipersalahkan ia adalah saya, bukan persatuan (Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran). Ini adalah hari paling malang dalam hidup saya," katanya.

Dalam perlawanan itu, Iran mendahului seawal minit keempat melalui Sardar Azmoun sebelum tertinggal 1-2 selepas Jassem Gaber Abdulsallam menyamakan kedudukan pada minit ke-17 diikuti dengan gol kedua Qatar oleh Akram Afif pada minit ke-43.

Iran, yang menyingkirkan pilihan utama Jepun 2-1 pada suku akhir, kemudian mengikat kedudukan 2-2 menerusi sepakan penalti Alireza Jahanbakhsh pada minit ke-51 tetapi Almoez Ali, penjaring terbanyak edisi 2019, memastikan Qatar mara ke final dengan gol kemenangannya pada minit ke-82.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan itu menyaksikan Iran terus gagal menjejakkan kaki ke final Piala Asia selepas kali terakhir berbuat demikian ketika memenangi gelaran ketiga pada tahun 1976 di Tehran. - Bernama