Isu salah laku: PDRM perlu kaji semula IGSO
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengkaji semula pelaksanaan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) supaya dapat mengenal pasti kelemahan pegawai dan anggota ketika bertugas terutamanya membabitkan isu salah laku pasukan tersebut yang makin kerap dilaporkan sejak kebekalangan ini.
Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tindakan itu perlu untuk memastikan sebarang pelanggaran disiplin membabitkan pegawai dan anggota pasukan keselamatan berkenaan dapat dielakkan.
Menurutnya, kelemahan IGSO boleh dilihat ketika anggota atau pegawai PDRM berurusan dengan pihak tertentu seperti sekatan jalan dan saman yang berkemungkinan mempunyai risiko kepada jenayah terutamanya rasuah.
“Masalah kewangan mungkin menjadi salah satu punca mengapa mereka sanggup menerima suapan walaupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menafikan keadaan itu, tetapi gaji rendah sebenarnya menjadi salah satu punca anggota atau pegawai terlibat dengan rasuah.
“Perkara ini juga perlu diteliti semula. Kerajaan memainkan peranan dalam situasi berkenaan, sudah lama sebenarnya gaji PDRM tidak dinaikkan dan sangat berbeza dengan kadar pendapatan anggota atau pegawai polis di negara lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kaedah atau inisiatif PDRM untuk menaikkan semula imej jabatan itu yang sejak kebelakangan ini sudah tercalar disebabkan oleh penglibatan beberapa anggota atau pegawai dengan jenayah.
Sebelum ini, lima pegawai polis dan seorang orang awam ditahan ketika sedang memproses minuman ketum di sebuah rumah di Alor Gajah, Melaka.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, kesemua lelaki yang terdiri daripada dua pegawai kanan termasuk deputi superintenden dan inspektor dan tiga pegawai rendah polis serta orang awam berusia antara 31 hingga 55 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Beliau berkata, pasukan serbuan turut merampas 5.2 liter cecair ketum yang dipek ke dalam beberapa botol dan dibungkus dengan plastik selain sepasang uniform operasi PDRM serta satu besen.
Pada Ahad lalu, seorang anggota polis berpangkat sarjan disiasat selepas disyaki melakukan rasuah dan pelanggaran prosedur trafik, sewaktu Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Alkohol di Petaling Jaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan pasukan Jabatan Integriti dan Pemeriksaan Standard (JIPS) Bukit Aman mendapati, salah seorang anggota berpangkat sarjan memiliki wang tunai sekitar RM3,313 dan RM440 di dalam sebuah kereta.
Bagaimanapun, Shahul berpendapat, penambahbaikan bagi PDRM perlu dimulakan daripada dalaman melibatkan semua peringkat jawatan tidak kira sama ada anggota atau pegawai.
“Razarudin ada memberi beberapa cadangan (Ahad lalu) yang dilihat mampu memberi perubahan dalam sistem gerak kerja dan tatakelola PDRM tetapi ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.
“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard memainkan peranan sangat penting untuk memastikan supaya jumlah anggota atau pegawai yang terlibat dengan jenayah seperti rasuah dan salahguna kuasa tidak meningkat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahul mengingatkan kepada semua anggota PDRM supaya tidak merasa rendah diri dengan kritikan yang diberikan oleh sesetengah pihak yang dilihat cuba menjatuhkan imej jabatan itu.
Sebaliknya, beliau meminta supaya mereka menjadi situasi tersebut sebagai penguat untuk terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam menjaga keamanan serta keselamatan negara.
“Orang ramai tolong jangan mengkritik di media sosial kerana yang melakukan kesalahan hanya segelintir sahaja dan PDRM sudah mengambil tindakan kepada yang terlibat.
“Pujian harus diberikan kerana mereka segera menjatuhkan hukuman terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dengan jenayah. Situasi ini membuktikan bahawa PDRM serius dalam menjaga imej mereka,” jelasnya.