[VIDEO] Smart Sawah Berskala Besar Ala Sekinchan diperluas ke Johor

A
A
A

TANGKAK - Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan akan diperluaskan ke kawasan penanaman padi di negeri ini secara berperingkat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan sekitar 50 hektar bagi program SMART SBB Ala Sekinchan di Johor.

"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negara (KPKM) menyalurkan sebanyak RM3.45 juta, bagi memperkasakan projek penanaman padi di Sawah Ring, Tangkak.

"Ia bagi penyelenggaraan mekanikal dan elektrikal, serta penambahbaikan jalan ladang dan bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan sivil kawasan berkenaan.

"Peruntukan ini dijangka akan memberi impak besar kepada penghasilan padi yang lebih berkualiti dan bermutu tinggi serta memberi manfaat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Sawah Ring di sini pada Isnin.

Kawasan sawah padi di Sawah Ring Tangkak.
Kawasan sawah padi di Sawah Ring Tangkak.

Menurut Mohamad, SMART SBB Ala Sekinchan merupakan amalan pertanian berhasil tinggi itu akan meningkatkan hasil pengeluaran daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10 tan metrik per hektar.

"Tanam Ala Sekinchan ini mestilah tanaman mengikuti masa yang betul, baja dan pengairan sesuai.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tidak ada pengairan yang cukup, maka ia tidak boleh untuk kita buat ala Sekinchan dengan sempurna dan dari segi penjagaan, pesawah padi ini tidak boleh kerja sambilan, kena kerja tetap seperti profesional," ujarnya.

Mengikut rekod, Johor kini memiliki 10 sawah padi seluas 2,254 hektar merangkumi di Tangkak (842.97 hektar), Muar (364.22 hektar), Mersing (549.38 hektar), Batu Pahat (141.70 hektar) dan Kluang (356.12 hektar) membabitkan 859 pesawah.

Mohamad Sabu melihat dron digunakan bagi melakukan kerja-kerja sawah di Sawah Ring, Tangkak pada Isnin.
Mohamad Sabu melihat dron digunakan bagi melakukan kerja-kerja sawah di Sawah Ring, Tangkak pada Isnin.

Selain itu, hasil padi Johor mencatatkan peningkatan 30.1 peratus pada musim menuai utama bagi tempoh 2021 hingga 2022 berbanding tempoh pengeluaran 2020 hingga 2021.

Peningkatan hasil padi adalah daripada 4,746 tan metrik kepada 6,225 tan metrik.