JMG keluar surat arahan henti tugas lombong Bukit Perangin

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengeluarkan surat arahan henti tugas di tapak lombong Bukit Perangin, dekat Kubang Pasu pada Khamis lepas berikutan kes kemalangan maut yang berlaku di kawasan itu sebelum ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan awal berhubung kes kemalangan maut yang melibatkan seorang pekerja asing di tapak lombong itu mendapati kawasan muka lombong berada dalam keadaan tidak stabil dan mempunyai risiko runtuhan susulan.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan JMG mendapati pihak lombong telah meletakkan tali penghadang sebagai langkah kawalan keselamatan bagi mengelakkan kawasan kejadian daripada diceroboh masuk.

"Walau bagaimanapun, pemeriksaan sekitar mendapati tiada sebarang papan tanda keselamatan atau peringatan diletakkan berhampiran kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, rakaman saksi utama kejadian memaklumkan pekerja mengingkari arahan dikeluarkan oleh pihak pengurusan agar menjalankan kerja di kawasan ditetapkan.

Menurutnya, lawatan susulan melalui dron mendapati terdapat banyak retakan pada struktur batuan yang boleh menyebabkan runtuhan dan kawasan kerja masih dikategorikan sebagai tidak selamat.

"Segala kerja dalam lombong telah diarah untuk dihentikan merujuk kepada Seksyen 21(2) Akta Pembangunan Mineral 1994 dan arahan juga telah dikeluarkan agar kesemua akses masuk ke kawasan kejadian ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan.

Nik Nazmi berkata, pemegang Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) telah diarah mengemukakan laporan lengkap kemalangan maut, kajian semula pelan pengurusan keselamatan dan laporan penilaian kestabilan cerun dan mitigasi untuk pertimbangan lanjut JMG dan kementerian. - Bernama

Artikel Berkaitan: