Hati Hamilton beralih ke Ferrari

Lewis Hamilton -Foto: Agensi
Lewis Hamilton -Foto: Agensi
A
A
A

JUARA dunia Formula 1 tujuh kali, Lewis Hamilton akan membuat transisi kepada Ferrari tahun depan selepas Mercedes mengumumkan pelumba sensasi tersebut akan meninggalkan pasukan berkenaan pada penghujung musim 2024.

“Masa yang paling sesuai untuk saya mengambil langkah ini dan saya amat teruja untuk menyahut cabaran baharu,” kata Hamilton.

Ferrari kemudiannya mengesahkan ketibaan pelumba Britain berusia 39 tahun itu yang akan menjadi rakan kongsi pemandu semasa Charles Leclerc.

“Ferrari dengan sukacitanya mengumumkan Lewis Hamilton akan menyertai pasukan pada tahun 2025,” kata pasukan Itali itu dalam satu kenyataan.

Hamilton sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan Ferrari pada 2019 untuk menyertai gergasi Itali berkenaan.

BBC melaporkan bahawa kakitangan Mercedes telah dipanggil untuk bertemu dengan bos Toto Wolff di ibu pejabat United Kingdom bagi memaklumkan Hamilton akan meninggalkan pasukan tersebut penghujung musim 2024.

"Lewis telah mengaktifkan pilihan pelepasan dalam kontrak yang diumumkan Ogos lalu dan musim ini akan menjadi pemanduan terakhirnya untuk Silver Arrows," kata Mercedes dalam satu kenyataan.

Hamilton sebelum ini menandatangani kontrak dua tahun bersama Mercedes bagi musim 2024 dan 2025, namun perjanjian itu mengandungi klausa yang membenarkannya pergi selepas satu musim.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah melalui 11 tahun yang menakjubkan bersama pasukan ini dan saya sangat berbangga dengan apa yang telah kami capai bersama sekian lama.

"Mercedes telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak berumur 13 tahun. Ia adalah tempat di mana saya telah membesar, jadi membuat keputusan untuk pergi adalah salah satu keputusan paling sukar yang pernah saya buat," kata Hamilton.