Rexy optimis kemampuan Malaysia di BATC 2024

Aaron-Wooi Yik antara sandaran negara di BATC 2024. Gambar kecil: Rexy
Aaron-Wooi Yik antara sandaran negara di BATC 2024. Gambar kecil: Rexy
A
A
A

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky optimis pasukan lelaki negara mampu mara ke suku akhir berdasarkan undian kejuaraan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang berlangsung pada Selasa.

Malah, Rexy percaya skuad negara juga mampu merealisasikan hasrat itu dengan status Malaysia sebagai tuan rumah selepas edisi 2022 sebelum ini.

“Ya, saya telah memberitahu semua pemain untuk fokus dengan memberikan peminat serta negara keputusan yang membanggakan semua. Saya mahu setiap pemain untuk berjuang dengan lebih baik selepas keputusan yang tidak beberapa baik ketika Terbuka Malaysia sebelum ini.

“Ini merupakan peluang kepada pemain-pemain untuk membawa kegembiraan, berdasarkan dengan barisan terbaik ditampilkan untuk kejohanan,” katanya selepas majlis undian BATC 2024 pada Selasa.

Sebagai rekod, skuad berpasukan lelaki negara diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei dalam kejuaraan yang dijadualkan berlangsung di Setia Alam, Selangor, dari 13 hingga 18 Februari ini.

Pasukan lelaki akan diketuai pemain perseorangan, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe manakala beregu mempertaruhkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kepada pasukan negara di kejuaraan dwi tahunan tersebut.

Jelas Rexy lagi, barisan kejurulatihan juga telah mempersiapkan skuad yang mantap biarpun berlaku pertukaran pemain pada saat akhir berikutan kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Ada pemain seperti Justin Hoh yang mengalami kecederaan pada saat-saat akhir menyebabkan kita terpaksa menggantikannya dengan Leong Jun Hao.

“Jadi saya harap pemain lelaki kita yang diketuai tonggak Zii Jia, Jun Hao, Tze Yong dan Eugen dan Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Nur Izzuddin dan Hon Jian-Haikal tampil lebih kuat untuk pasukan,” kata Rexy.

Bagi acara berpasukan wanita, skuad negara dijangka berdepan laluan berliku apabila diundi dalam Kumpulan Y bersama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beregu berpasukan wanita negara pula cabaran digalas pemain perseorangan Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Wong Ling Ching, manakala beregu digalas Pearly Tan-M Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Teoh Mei Xing-Tan Zhing Yi.

Mengenai saingan pasukan wanita, Rexy menjangkakan saingan sengit berkata: “Sejujurnya kita kena realistik bagi pasukan wanita. Bagi perseorangan agak sengit untuk menentang Thailand, jadi tiga pemain wanita kita harus cuba dapat satu mata.

“Beregu pula untuk menentang Thailand, 50-50. Daripada rekod pertemuan Pearly-Thinaah dengan beregu utama Thailand, mereka selalu mengalahkan kita.

“Beregu kedua pula lebih menarik untuk dilihat, apa pun kita perlu menang untuk berada di tangga teratas kumpulan bagi mengelak berdepan China dan Jepun di suku akhir,” katanya.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024

Berpasukan Lelaki

Kumpulan A

China

India

Hong Kong

Kumpulan B

Malaysia

Taiwan

Kazakhstan

Brunei

Kumpulan C

Jepun

Thailand

Singapura

Myanmar

Kumpulan D

Indonesia

Korea Selatan

Emiriah Arab Bersatu

Arab Saudi

Berpasukan Wanita

Kumpulan W

China

India

Kumpulan X

Indonesia

Hong Kong

Kazakhstan

Kumpulan Y

Thailand

Malaysia

Emiriah Arab Bersatu

Kumpulan Z

Jepun

Taiwan

Singapura