Santai Pancing Port Dickson 2024 tawar hadiah RM28,800

Sebahagian peserta yang mengambil bahagian pada pertandingan Santai Pancing Port Dickson tahun lalu.
Sebahagian peserta yang mengambil bahagian pada pertandingan Santai Pancing Port Dickson tahun lalu.
A
A
A

KIRA-KIRA 700 'kaki pancing' dijangka berkampung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 17 Februari depan bagi menyahut cabaran pada pertandingan Santai Pancing Port Dickson 2024.

Pertandingan yang memasuki tahun kelima anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) itu menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 sebagai hadiah utama.

Yang Dipertua MPPD, Nurhazelin Makli berkata, pertandingan itu secara tidak langsung memainkan peranan mempromosikan keindahan pantai-pantai yang terdapat di sekitar Port Dickson.

“Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masingnya menerima RM3,000 dan RM1,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hadiah wang tunai juga disediakan kepada para pemenang sehingga tempat ke-100 dan ia berkonsep sapu bersih.

“Kaunter pendaftaran akan mula dibuka pada hari Jumaat (16 Februari 2024) bermula pukul 3 petang hingga 9 malam.

“Khemah urus setia akan dibuka di lokasi pertandingan bagi memudahkan para peserta membuat mendaftaran dan yuran penyertaan adalah RM70 untuk setiap joran.

“Pelbagai spesies ikan antaranya daun baru, bayan dan tetanda terdapat di pantai ini, jadi semua peserta berpeluang untuk bergelar juara,” jelas Nurhazelin.

Artikel Berkaitan:

Nurhazelin (kanan) bersama Penyelia Unit Pelancongan MPPD, Hamiza Hasnin ketika melancarkan Santai Pancing PD 2024 di Port Dickson baru-baru ini.
Nurhazelin (kanan) bersama Penyelia Unit Pelancongan MPPD, Hamiza Hasnin ketika melancarkan Santai Pancing PD 2024 di Port Dickson baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nurhazelin berkata, 500 peserta yang mendaftar awal akan menerima baju-T daripada pihak penganjur manakala peserta bertuah pula berpeluang membawa pulang hadiah bonanza berupa dua buah televisyen bersaiz 32 dan 42 inci.

“Pantai Cahaya Negeri yang sinonim sebagai lokasi memancing diharap dapat menarik para pelancong domestik di samping membantu ekonomi penduduk tempatan.

“Saya menyeru agar para peserta nanti bertanding secara sihat, menang atau kalah adat bertanding dan paling penting adalah bercuti bersama keluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh menghubungi pihak urus setia di talian 013-2667011, 017-6805934, 012-3554946 atau 012-2846811.