Sudahlah melombong bitcoin, curi elektrik pula

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Polis menyerbu tiga premis yang dikesan mencuri elektrik bagi menjalankan aktiviti melombong bitcoin di kawasan Bercham dan Jelapang dekat sini, Khamis lalu.

Serbuan bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati sindiket terbabit menyasarkan bangunan kedai dan rumah persendirian serta melakukan pengubahsuaian sistem pendawaian.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penyambungan haram ke atas bekalan elektrik itu menyebabkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM45,294.28.

"Dalan serbuan itu, sebanyak 137 unit mesin bitcoin dianggarkan bernilai RM68,500 dirampas.

"Siasatan mendapati sindiket ini mampu mengaut keuntungan sehingga RM164,400 sebulan hasil daripada melombong bitcoin," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Pemilik premis disarankan untuk mengambil tahu terhadap aktiviti dilakukan penyewa agar tidak menyalahi undang-undang.

"Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Ipoh yang beroperasi 24 jam di talian 05-2542222," katanya.

Artikel Berkaitan: