Runner OKU guna papan iklan digital promosi perkhidmatan

Muhammad Hafiz yang kudung tangan kiri akibat kemalangan pada 2008 di hadapan papan digital yang memaparkan khidmatnya
Muhammad Hafiz yang kudung tangan kiri akibat kemalangan pada 2008 di hadapan papan digital yang memaparkan khidmatnya
A
A
A

TEMERLOH - Bagi memastikan khidmat penghantaran yang ditawarkan sejak sembilan tahun terus bertahan, seorang runner orang kurang upaya (OKU) mempromosikan khidmatnya menerusi papan iklan digital sejak dua minggu lalu.

Ia menjadikan Muhammad Hafiz Abdullah, 35, satu-satunya runner di Pahang dan mungkin di Malaysia mempromosikan khidmat ditawarkan menggunakan platform tersebut.

Muhammad Hafiz yang kehilangan tangan kiri akibat kemalangan pada 2008 pernah tular sebelum ini biarpun tidak sempurna seperti orang lain namun masih mampu berkhidmat menggunakan motosikal.

Ketika ditemui Sinar Harian, Hafiz memberitahu, dia mula tergerak menggunakan papan iklan tersebut selepas terlihat promosi yang ditawarkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Temerloh Jaya.

Muhammad Hafiz memulakan khidmat runner sejak 2015 hingga kini.
Muhammad Hafiz memulakan khidmat runner sejak 2015 hingga kini.

"Saya fikir dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, saya kena ambil inisiatif dan terus mempromosikan khidmat yang ditawarkan supaya dapat bertahan lama dalam bidang ini.

"Apabila melihat caj yang dikenakan berpatutan, saya tidak melepaskan peluang dan berharap promosi sebegini boleh membantu selain aktif di media sosial," katanya pernah melakukan penghantaran hingga ke Gombak.

Menerusi promosi yang dibuat, Muhammad Hafiz menawarkan khidmat penghantaran sekitar Temerloh, Mentakab, Jengka, Chenor, Triang, Lanchang, Jerantut selain tempahan awal pelanggan di lokasi-lokasi lain.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berkhidmat sebagai runner yang bergelar OKU sepertinya sangat mencabar dan berbeza berbanding mereka yang normal.

"Saya bersyukur sejak 2015 hingga kini masih mendapat kepercayaan orang ramai dan prinsip saya, berikan khidmat yang terbaik, jujur dan amanah," tambahnya yang menetap di Felda Jengka 20.

Mejlan Sulkiman
Mejlan Sulkiman

Sementara itu Pengerusi KRT Taman Temerloh Jaya, Mejlan Sulkiman memberitahu, pemasangan papan tanda itu antara keperluan yang diterima untuk komuniti dan projek pasar malam bersepadu taman terbabit daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bernilai RM296,000 pada Jun tahun lepas.

Ujarnya, pemasangan papan iklan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 11 malam itu mula dibuat pada September lalu dan kini semakin mendapat sambutan baik daripada peniaga dan syarikat setempat.

"Dengan kadar yang dikenakan amat berpatutan antara RM50 hingga RM200 sebulan, ia juga menyumbang pendapatan tambahan pada KRT ini," jelasnya terdapat lebih 14,000 penduduk di taman tersebut.