Nasib si 'Superman...'

Tangkap layar yang memaparkan aksi lelaki tersebut yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini.
Tangkap layar yang memaparkan aksi lelaki tersebut yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini.
A
A
A

MARAN - Tindakan seorang pemuda menunggang motosikal ala 'Superman' di Kilometer (KM) 160 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Kuantan mengundang padah apabila ditahan pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman memberitahu, ia susulan rakaman klip video berdurasi kira-kira 20 saat dirakam individu lain yang memaparkan aksi bahaya itu tular di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan di Felda Jengka 23 hasil kecekapan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran.

“Aksi Superman oleh lelaki itu menjadi tular setelah klip videonya dimuat naik di platform TikTok oleh seorang pemilik akaun yang memaparkan aksi seorang penunggang motosikal meniarap di atas motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

“Lelaki itu ditahan di Felda Jengka 23 sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Lelaki berusia 20 tahun ditahan di Felda Jengka 23 pada Selasa. Foto PDRM
Lelaki berusia 20 tahun ditahan di Felda Jengka 23 pada Selasa. Foto PDRM

Ujar beliau lagi, semakan lanjut mendapati penunggang motosikal tersebut tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing dijalankan terhadapnya juga didapati negatif dadah.

Jelasnya, suspek dan motosikal ditahan untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan:

“Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000,” tambahnya.