'Saya tak sedih, marah' - Dr Maszlee

Dr Maszlee menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada seorang penduduk pada Majlis Bersama Penduduk Simpang Renggam hari ini.
Dr Maszlee menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada seorang penduduk pada Majlis Bersama Penduduk Simpang Renggam hari ini.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak berasa sedih atau marah dengan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memintanya 'memulangkan' jawatan Menteri Pendidikan.

Menurutnya, beliau yakin keputusan itu ada hikmah tersendiri buat beliau dan penduduk Parlimen Simpang Renggam khususnya.

"Saya tidak sedih, tidak marah. Yakin ada hikmah di sebalik perkara ini, paling besar saya dapat kembali berkhidmat buat rakyat Simpang Renggam.

"Saya yakin Tun (Dr Mahathir) lebih nampak apa yang kami tidak memahaminya," katanya pada Majlis Bersama Penduduk di pekarangan Pejabat Pusat Khidmat Simpang Renggam di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Maszlee berkata, beliau yakin dasar yang disediakan beliau dalam tempoh 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan (KPM) mencukupi dalam membangunkan agenda transformasi pendidikan negara.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang memberi sokongan terhadap beliau menerusi petisyen dalam talian yang diwujudkan berhubung peletakan jawatannya.

"Saya difahamkan petisyen itu sudah hampir setengah juta tandatangan. Terima kasih, saya faham dan berkongsi simpati. Saya yakin tapak yang saya sediakan mencukupi dan pengganti saya akan dapat meneruskan agenda pendidikan negara.

"Banyak warga pendidik yang tumpah air mata selepas pengumuman itu. Saya berkongsi simpati atas perjuangan pendidikan yang dilakukan semua.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada atau tidak, saya yakin dasar yang dilakukan saya sebelum ini cukup untuk diteruskan bakal Menteri Pendidikan kelak," katanya.