Politik pengaruhi keputusan Agong?

No Image Caption
A
A
A

PUNCA peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong berkemungkinan mempunyai kaitan dengan unsur-unsur politik.

Keadaan ini berlaku disebabkan hubungan yang agak kurang menyenangkan antara Sultan Muhammad V dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Menurut penganalisis politik veteran, Cheah See Kian, pada Februari tahun lalu, Sultan Kelantan telah menarik balik gelaran Darjah Kerabat (DK) yang dikurniakan kepada Dr Mahathir pada 2002.

"Manakala kelewatan majlis angkat sumpah Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas PH berjaya menubuhkan kerajaan baharu turut membuktikan hubungan Perdana Menteri dengan Sultan Muhammad V ada masalah," kata See Kian ketika bercakap kepada Oriental Daily.

Selain itu, kata penganalisis itu lagi, kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai khabar angin Sultan Muhammad V akan meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong boleh menunjukkan mereka berkemungkinan kurang komunikasi antara satu dengan lain.

Manakala bagi seorang lagi penganalisis, Lim Pau Hua, perkahwinan Sultan Muhammad V dengan ratu cantik dari Rusia seperti dihebohkan dalam sosial media sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej istana dan negara.

"Sebagai pemerintah tertinggi negara dan lambang kedaulatan negara, perkahwinannya itu pastinya akan menimbulkan kebimbangan kepada anggota-anggota dalam Majlis Raja-Raja," kata penganalisis itu dari Institut Strategi Asia dan Kepimpinan (Asli).

Menurut beliau, walaupun perkahwinan antara kerabat raja dengan warga asing adalah biasa, namun masalah imej pada wanita dari Rusia ini kemungkinan menjadi salah satu sebab Sultan Muhammad V melepaskan jawatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, memetik laporan China Press, seorang Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, mengikut Perlembagaan, seseorang Yang di-Pertuan Agong berhak meletakkan jawatannya sekiranya baginda berhasrat membuat demikian.

"Selain Yang di-Pertuan Agong, sultan atau raja di setiap negeri juga berhak memilih untuk letak jawatan ketika dalam tempoh pemerintahannya," kata beliau yang juga exco kerajaan negeri Perak.

Menurut Abdul Aziz, sekiranya Yang di-Pertuan Agong mangkat, letak jawatan atau dipecat, ia tidak semestinya diganti oleh timbalannya.

"Untuk itu, Majlis Raja-Raja perlu mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk mengundi Agong dan timbalannya yang baharu," katanya.

Kelmarin, Majlis Raja-Raja memutuskan akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Manakala Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Abdul Aziz menambah, kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dibiarkan terlalu lama bagi memastikan institusi diraja di negara kita terus terpelihara.

Ditanya mengenai calon Yang di-Pertuan Agong XVI, kata Abdul Aziz, sekiranya mengikut penggiliran seperti pusingan terdahulu, Sultan Pahang sepatutnya dipilih untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sultan Muhammad V, kemudian diikuti Sultan Johor dan Sultan Perak.

"Bagaimanapun, dikhabarkan Sultan Pahang kini dalam keadaan gering, mungkin Pahang akan melantik sultan yang baharu dan kemudiannya diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong yang baharu," katanya.