Baik, buruk RUU kekalkan kerajaan


Syor Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya digubal undang-undang khusus bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya mentadbir dan bertahan sehingga akhir penggal menerima pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Foto Bernama
Syor Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya digubal undang-undang khusus bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya mentadbir dan bertahan sehingga akhir penggal menerima pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Foto Bernama
A
A
A

SYOR Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya digubal undang-undang khusus bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya mentadbir dan bertahan sehingga akhir penggal menerima pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.

Ada yang menyambut baik cadangan itu malah ada yang tidak bersetuju.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu menegaskan bahawa idea berkenaan dicadangkan bagi mengelak sebarang usaha ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Perkara ini jika dilaksanakan juga boleh mengelak daripada episod bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali seperti yang pernah terjadi sebelum ini.

Malah, beliau menzahirkan keyakinan bahawa undang-undang itu membolehkan kerajaan memberi fokus yang jitu untuk mentadbir negara.

Jadi adakah rakyat bersetuju atau tidak dengan cadangan yang dibangkitkan itu?

POSITIF

Kerajaan bertukar beri impak terhadap ekonomi

SYOR Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal ini adalah satu tindakan yang baik dan saya amat bersetuju dengan pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

Jika dilihat kembali sebelum ini, kita telah melihat siri pertukaran kerajaan yang tidak ‘putus-putus’ selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Jadi saya percaya RUU ini akan memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Apabila dikaji dari segi perspektif demokrasi, perkara seperti mengumpul akuan bersumpah (SD) dan membentuk sebuah kerajaan yang baharu ini telah bercanggah dengan sistem demokrasi Malaysia. Malaysia mengikut sistem berparlimen di mana kerajaan dibentuk oleh parti politik atau gabungan yang mempunyai majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat.

Rakyat mengundi dan memilih wakil rakyat dan parti politik yang mereka inginkan, namun setelah kerajaan ditubuhkan, insiden parti pembangkang mengumpul SD dan tubuh kerajaan baharu ini tidak mematuhi sistem demokrasi. Perkara sebegini akan membuatkan rakyat kecewa, marah dan putus asa. Di mana kita boleh tengok peratusan keluar mengundi telah menurun daripada 82 peratus (PRU14) ke 74 peratus (PRU15).

Apabila kerajaan bertukar-tukar ia juga menunjukkan ketidakstabilan ekonomi di mana pelabur yang akan melabur mestilah melihat kepada kestabilan politik dan pemimpin negara. Jadi apabila kerajaan bertukar-tukar ia akan memberi impak terhadap ekonomi negara.

G Pravhilan
G Pravhilan

Dalam pada itu, apabila seseorang telah dilantik sebagai Perdana Menteri, kita patut memberi mereka tempoh masa yang secukupnya untuk beliau menunjukkan prestasi. Apabila kerajaan bertukar ketika separuh jalan, inisiatif pembangunan dan projek yang telah dilaksanakan juga akan terhenti dan mengambil jangka masa panjang sehingga memberi impak terhadap pembaziran masa, dana kerajaan dan banyak lagi.

Saya sebagai seorang belia yang cintakan negara ini dan mempunyai harapan tinggi terhadap tanah air amat bersetuju bahawa RUU ini akan memberi satu jaminan terhadap kerajaan memerintah untuk melaksanakan yang terbaik dalam tempoh masa diberi oleh rakyat melalui pilihan raya.

- Presiden Persatuan Mahasiswa Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), G Pravhilan, 22.

Pendapat saya tentang cadangan syor ini wajar untuk dilaksanakan kerana ia mampu menjamin kestabilan negara, di mana kerajaan yang telah dilantik tidak akan diganggu-gugat oleh mana-mana pihak sehingga habis penggal pentadbirannya.

Malah, kerajaan akan dapat memberi fokus dalam mentadbir negara dan kesannya akan dapat dirasai oleh rakyat kebanyakan. Ia juga membolehkan episod pertukaran Perdana Menteri dalam masa singkat sebelum ini dapat dihentikan.

Faez
Faez

Dalam pada itu bagi saya, wakil rakyat juga akan dilihat akan kurang ‘bermain’ politik dan lebih memfokuskan usaha mereka mentadbir dan memerintah kerana adanya RUU yang telah mengikat mereka.

Bagi saya, jika perubahan kerajaan yang berlaku sebelum penggalnya berakhir akan turut membantutkan pertumbuhan ekonomi kerana akan memberi gambaran yang salah terhadap pasaran dan pelabur-pelabur asing.

- Pengurus bank, Faez Badrul, 33.

NEGATIF

Elak pemimpin ambil kesempatan laksana tanggungjawab

Pendapat saya, wakil rakyat berhak untuk membawa usul hilang percaya (motion of loss confidence) dan menukar kerajaan.

Dengan adanya RUU ini saya merasakan pemimpin akan mengambil kesempatan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna kerana tidak ada sesuatu yang boleh menggugat jawatan dipegang mereka.

Pemimpin akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan prestasi yang luar biasa kerana jawatan yang dipegang boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

Nurin Maisarah
Nurin Maisarah

Bagi saya diplomasi adalah salah satu cara yang patut diangkat dalam mana-mana isu. Dengan adanya RUU seperti ini ia akan membawa impak lebih teruk dan akan berlaku perkara yang tidak diinginkan.

Undang-undang sedia ada sebenarnya boleh menyelesaikan isu hilang kepercayaan ini dengan lebih mudah iaitu dengan cara diplomasi antara pemimpin.

Pembangkang hanya mengumpul SD dengan cara diplomasi dan bentang usul hilang percaya di Dewan Rakyat dan jika didapati usul diluluskan maka kerajaan akan bertukar dengan lebih aman dan damai tanpa melibatkan kuasa rakyat. Malah negara tidak perlu melihat satu lagi peristiwa hitam dalam sejarah pemerintahan.

- Mahasiswa UniSZA, Nurin Maisarah Zulkifli, 22.

SAYA kurang bersetuju dengan cadangan ini kerana jika dilihat, ia seolah-olah akan memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja, malah sistem semak - imbang dan demokrasi juga akan terhakis.

Dibimbangi juga ia akan menyebabkan kuasa yang ada itu akan disalah guna kerana tiada ‘pemantau’ yang boleh memberi tekanan kepada sesebuah kerajaan tersebut.

Siti Noor Asiah
Siti Noor Asiah

Malah, jika ia dilaksanakan juga dikhuatiri Dewan Rakyat akan ‘dikongkong’ oleh pemerintah kerana jaminan kuasa bahawa mereka tidak terikat kerana akan memerintah sehingga tamat penggal.

Ini akan menyebabkan pemerintah memiliki lebihan kuasa malah adakalanya boleh menindas pembangkang kerana memiliki kelebihan tersebut.

Jadi syor ini perlu penelitian yang rapi dan terperinci sekiranya ia benar-benar ingin dilaksanakan. Pemerintah juga perlu dengar suara pembangkang, profesional dan rakyat sebelum buat apa-apa syor.

- Bekerja sendiri, Siti Noor Asiah Muda, 37.