Agong kurnia pingat kepada 302 individu

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan bintang KMN kepada Nur-ul Afida pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara. Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan bintang KMN kepada Nur-ul Afida pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 302 individu termasuk Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin di Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Nur-ul Afida yang merupakan wanita pertama menyandang jawatan penting di agensi berita itu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).

Selain Nur-ul Afida, antara penerima Bintang KMN ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi; Ahli Dewan Negara, Senator Datin Ros Suryati Alang dan Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, NurulHuda Abd Aziz.

Sementara itu, Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dikurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN).

Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) sementara bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Mohamad Jailani Said menerima Darjah Johan Setia Diraja (JSD).

Sementara itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Rosnizan Ahmad (Morib) dan Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis) masing-masing dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Daripada keseluruhan 302 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan hari ini, sembilan individu menerima Darjah Johan Mangku Negara (JMN), 19 penerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) dan seorang penerima Darjah Johan Setia Diraja (JSD).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, seramai 41 individu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN), 76 penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), 155 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) serta seorang penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) iaitu Deputi Superintenden Mohamad Hasnal Jamil.

Mohamad Hasnal adalah pegawai kanan polis yang terlibat dalam pertempuran memerangi pengganas Sulu di Kampung Simunul, Semporna, Sabah ketika Op Daulat pada Mac 2013. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!