Kementerian Pertahanan puji tindakan pantas Koperal Mazlan

Mohamed Khaled turut mengucapkan syabas dan terima kasih di platform X ke atas keberanian Koperal Mazlan selamatkan nyawa orang awam terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
Mohamed Khaled turut mengucapkan syabas dan terima kasih di platform X ke atas keberanian Koperal Mazlan selamatkan nyawa orang awam terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - Keberanian anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Koperal Mazlan Abdul Rahman dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang mendapat perhatian Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mohamed Khaled dalam hantaran di platform Xnya berkata, keberanian Koperal Mazlan itu boleh dijadikan contoh dan teladan kepada semua terutamanya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Syabas dan terima kasih Koperal Mazlan Abdul Rahman atas tindakan berani dan pantas menyelamatkan nyawa orang awam yang dipercayai terjatuh ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang.

"Keberanian ini boleh dijadikan contoh dan teladan buat semua, khususnya kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) turut menyifatkan kepantasan anggotanya menyelamatkan dua mangsa terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini pada Isnin, wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM.

Dalam kejadian pada jam 7.49 malam Isnin, sepasang kekasih terselamat selepas kedua-dua mereka terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.

Sebelum itu, kedua-dua mereka yang menaiki sebuah kereta dipercayai bertengkar.

Kejadian berlaku di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pusat bandar ke Perai.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua mangsa bagaimanapun diselamatkan seorang lelaki yang bertindak terjun sebelum menarik mangsa ke atas bot nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.